Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Perak semalam telah menyerbu sebuah bengkel di Simpang, Taiping yang disyaki telah menyimpan diesel secara haram. Tindakan tersebut adalah sebahagian daripada Ops Tiris 2025, lapor Bernama.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang mendakwa dirinya sebagai pemandu lori gagal menunjukkan sebarang dokumen, lesen serta permit oleh pihak berkuasa untuk menyimpan barangan terkawal apabila diminta berbuat demikian.
“Oleh sebab itu, tindakan telah diambil untuk menyita sebanyak 36,000 liter bahan api yang dipercayai diesel, dua buah lori, sebuah tangki serta 22 kontena perantara bersama pam, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM292,840,” jelas Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, modus operadi sindiket tersebut adalah untuk mendapatkan diesel daripada bot nelayan dan pemandu lori yang mencuri diesel daripada majikan masing-masing, dan diesel berkenaan dibeli dengan harga RM2.15 seliter sebelum dijual semula di pasaran gelap dengan harga sekitar RM2.45 seliter.
Beberapa hari lalu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan percubaan untuk menyeludup 10,200 liter diesel yang dianggarkan bernilai RM30,600 di kompleks pemeriksaan kastam dan imigresn di Bukit Kayu Hitam. AKPS percaya bahan api itu akan dijual hingga ke pasaran Myanmar.
The post Bengkel simpan 36,000 liter diesel haram diserbu — beli RM2.15, dijual RM2.45 seliter di pasaran gelap appeared first on Paul Tan’s Automotive News.