Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan buat masa ini bekalan petrol dan diesel di Malaysia masih berada dalam keadaan terkawal namun risiko lebih besar mungkin dirasai sekiranya konflik di Asia Barat berlarutan dalam tempoh satu hingga dua bulan lagi, laporan Harian Metro.

Katanya, walau pun konflik geopolitik dunia memberi tekanan kepada ekonomi global dan rantaian bekalan tenaga, namun kerajaan ketika ini masih mampu menampung tekanan kenaikan harga minyak dunia melalui subsidi, namun keadaan itu tidak boleh bertahan terlalu lama sekiranya perang berpanjangan.

“Ini (perang) kalau keadaan tak berubah satu dua bulan ini kesannya sampai ke setiap kampung di negara ini percayalah… saya berdoa supaya dapat dileraikan,” katanya yang menambah kerajaan kini membelanjakan hampir RM6 bilion sebulan bagi menampung subsidi petrol, diesel dan bantuan berkaitan bagi memastikan rakyat tidak terkesan secara langsung akibat kenaikan harga global.

Bekalan petrol, diesel di M’sia masih terkawal; risiko lebih besar jika konflik Asia Barat berterusan – PMX

Namun, katanya, jika keadaan berterusan, jumlah itu boleh mencecah sehingga RM60 bilion dalam tempoh 10 bulan, sekali gus memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.

Jelasnya lagi, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, kira-kira 50% bekalan minyak negara masih perlu diimport, menyebabkan Malaysia turut terdedah kepada ketidaktentuan harga global. Sehubungan itu, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan harga masih terkawal selagi keadaan mengizinkan.

Anwar menegaskan, hubungan diplomatik yang baik dan pendirian tegas Malaysia terhadap serangan ke atas Iran membolehkan kapal negara melalui Selat Hormuz, sekali gus memastikan rantaian bekalan tenaga negara terus lancar dan tidak terjejas. Katanya lagi, terdapat negara lain yang telah terjejas teruk, termasuk sebuah negara jiran yang terpaksa menutup kira-kira 400 stesen minyak akibat kekurangan bekalan bahan api.

“Selain itu, ada negara lain yang terpaksa mengehadkan pembelian petrol kepada jumlah tertentu dan menetapkan hari tertentu bagi pembelian bahan api. Malaysia masih bertahan. Walaupun ada tekanan, kita belum sampai tahap seperti negara lain yang terpaksa menutup ratusan stesen minyak,” katanya.

The post Bekalan petrol, diesel di M’sia masih terkawal; risiko lebih besar jika konflik Asia Barat berterusan – PMX appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts