Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa bantuan tunai bulanan di bawah program Budi Madani Diesel akan dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 bagi bulan Mac 2026. Langkah sementara ini diputuskan susulan konflik Iran-AS yang sedang berlangsung di Timur Tengah yang menyaksikan harga bahan api mentah dunia meningkat mendadak.
Ketika ini, harga runcit bagi diesel Euro 5 B10 dan B20 di Semenanjung ialah RM3.92 seliter bagi minggu 12-18 Mac 2026. Ini melibatkan kenaikan sebanyak 80 sen seliter berbanding minggu lalu, dengan diesel Euro 5 B7 — yang 20 sen lebih mahal bagi seliter — dijual dengan harga RM4.12 seliter.
Dalam satu kenyataan rasmi, Kementerian Kewangan memaklumkan bayaran tambahan RM100 akan diberikan dari 17 Mac kepada pemilik kenderaan diesel yang layak, termasuk mereka yang tertakluk di bawah kategori Budi Individu atau Budi Agri-Komoditi (Petani).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa bekalan minyak Malaysia adalah mencukupi hingga Mei nanti walaupun dala keadaan konflik tersebut yang masih bergolak ketika ini. Beliau juga menjelaskan yang kerajaan akan mengekalkan harga RON 95 bersubsidi di bawah program Budi95 pada kadar RM1.99 seliter — yang menyaksikan harga tanpa subsidinya melonjak kepada RM3.27.
The post Bantuan tunai bulanan Budi Madani Diesel akan dinaikkan dari RM200 ke RM300 bagi Mac 2026 — MoF appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















