Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) mendedahkan bahawa kerosakan akibat kemalangan membabitkan kenderaan elektrik (EV) boleh menjadi jauh lebih rumit dan mahal untuk dibaiki berbanding kenderaan biasa. Dalam sesetengah kes, bergantung kepada lokasi kerosakan, kenderaan tersebut mungkin langsung tidak boleh dibaiki dan terpaksa diisytihar sebagai ‘total loss’ – lapor New Straits Times.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon, dalam satu taklimat media berkenaan prestasi industri insurans bagi separuh pertama tahun 2025. Menurut beliau, pihaknya telah menjalankan kajian terhadap data daripada pasaran EV yang lebih matang seperti China untuk menilai jangka hayat dan kos penyelenggaraan kenderaan elektrik dari semasa ke semasa.

Hasil kajian menunjukkan bahawa apabila EV semakin berusia, corak pemanduan akan berubah, kadar susut nilai meningkat dengan ketara dan kos pembaikan turut melonjak. Ini menjadikan EV sangat berbeza daripada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), bukan sahaja dari segi teknologi, malah dari sudut risiko dan tuntutan insurans.

Menurut Chua, nilai jualan semula EV yang menjunam serta kerumitan pembaikannya memberikan cabaran unik kepada pihak insurans. Tambahan pula, susut nilai yang tinggi menyukarkan proses tuntutan, terutama apabila kos baik pulih semakin mahal.

Baik pulih kenderaan EV kemalangan lebih rumit dan mahal berbanding ICE – membawa kepada <em>total loss</em>

Cabaran ini menjadi semakin ketara apabila penggunaan EV di Malaysia terus meningkat. Jualan kenderaan elektrik bateri (BEV) melonjak sebanyak 91.4% dalam separuh pertama tahun ini, merangkumi 3.4% daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan baru di negara ini. Lonjakan ini didorong oleh pelbagai insentif cukai yang ditawarkan kerajaan.

Namun, insentif untuk EV import sepenuhnya (CBU) dijadual tamat pada akhir tahun ini, manakala insentif bagi EV pemasangan tempatan (CKD) akan diteruskan sehingga tahun 2027. Sejumlah jenama popular juga telah menyatakan komitmen mereka untuk memasang EV di Malaysia.

Chua berkata, walaupun perkembangan ini amat positif dari segi kelestarian alam sekitar, ia turut mendedahkan keperluan mendesak untuk industri insurans menyesuaikan diri dengan risiko baru serta keperluan operasi dalam melindungi EV.

Salah satu keperluan utama ialah membangunkan keupayaan dalam bidang pembaikan EV, terutamanya melibatkan bateri yang merangkumi sebahagian besar kos keseluruhan kenderaan elektrik. Buat masa ini, ekosistem pembaikan bateri EV di Malaysia masih belum matang dan memerlukan pembangunan menyeluruh.

Baik pulih kenderaan EV kemalangan lebih rumit dan mahal berbanding ICE – membawa kepada <em>total loss</em>

“Malaysia perlu membina rangkaian bengkel pembaikan bateri yang lengkap. Sekarang ini, kita masih belum sampai ke tahap itu,” kata Chua. Beliau turut menjelaskan bahawa membaiki EV memerlukan kepakaran khas, termasuk jurutera elektrik dan tidak boleh dilakukan oleh mekanik biasa kerana risiko keselamatan yang tinggi.

Sebagai langkah awal, PIAM sedang bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membangunkan standard dan keperluan pematuhan bagi bengkel EV, bagi memastikan aspek keselamatan dan kepakaran dipenuhi.

Buat masa ini, pemilik EV di Malaysia masih menikmati kadar premium insurans yang lebih rendah kerana sektor ini masih berada dalam fasa liberalisasi berperingkat dan dikawal oleh kerajaan. Namun, menurut Chua, situasi ini berbeza di negara-negara yang lebih maju, di mana kos insurans EV jauh lebih tinggi kerana risiko dan kos pembaikan yang lebih besar.

“Keadaan itu belum berlaku di sini, dan kami sedang berusaha menguruskannya agar tidak perlu menaikkan premium. Tapi kalau lihat di pasaran lain, itulah realitinya,” ujar beliau.

The post Baik pulih kenderaan EV kemalangan lebih rumit dan mahal berbanding ICE – membawa kepada <em>total loss</em> appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts