Selepas berlangsung dengan jayanya tahun lalu, siri perlumbaan Autobacs Super GT dari Jepun sah akan kembali ke Malaysia untuk edisi tahun ini, dan jualan tiketnya sudahpun bermula pada 28 Februari lalu. Untuk musim 2026, Malaysia akan menjadi hos untuk perlumbaan pusingan ketiga yang berlangsung pada 19 hingga 21 Jun, berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang.
Untuk pembeli-pembeli tiket terawal, penganjur kini menawarkan promosi khas di mana anda boleh mendapatkan tiket dengan harga serendah RM80 (harga biasa RM100) untuk grandstand K1 (berhadapan selekoh pertama) dan juga RM200 (harga biasa RM250) untuk grandstand utama.
Bagi penonton yang mahu menonton perlumbaan ini secara lebih eksklusif, tiket GT Club Suite boleh dibeli pada harga bermula RM450 untuk seorang (suite kongsi) sehingga RM30,000 untuk satu suite eksklusif yang boleh menempatkan sehingga 70 orang.
Manakala bagi mereka yang mahukan lebih pengalaman, anda boleh memilih untuk membeli pas-pas sama ada GT Paddock Club (RM2,000), Experience Package (RM5,000), Dream Package untuk dua orang (RM15,000), atau VVIP Package untuk dua orang (RM50,000).
Pemegang pas GT Club Suite dan GT Suite akan layak mendapat akses ke laluan pit, manakala ahli GT Paddock Club akan layak mendapat akses ke laluan pit dan juga grid. Mereka yang membeli pemegang pas Experience Package akan mendapat tambahan perjalanan bas Circuit Safari di trek dengan kereta GT.
Bagi pemegang pas Experience Package dan Pakej VVIP pula akan layak mendapat semua keistimewaan ini termasuk perjalanan teksi dan lawatan pit eksklusif. Tiket-tiket ini sudah boleh dibeli secara atas talian menerusi TixShack di laman web rasmi Super GT Malaysia dan juga menerusi Excitix.
“Selepas 12 tahun tidak bersiaran, siri Autobacs Super GT kembali ke Malaysia tahun lepas dengan sambutan 75,977 peminat dan penonton perlumbaan pada hujung minggu yang merangkumi perlumbaan bertaraf dunia di trek dan pelbagai aktiviti serta tarikan di luar trek. Matlamat kami adalah untuk menjadikan acara ini lebih menarik tahun ini dan seterusnya,” kata Rakan Kongsi Pengurusan Haro Sports & Entertainment, Fahrizal Hasan.
Haro Sports & Entertainment merupakan pemegang hak dan penganjur untuk pusingan Super GT di Malaysia, dan Nihon Matsuri adalah penganjur bersama Festival Super GT Malaysia
Selain dari Super GT, acara ini juga akan menampilkan beberapa perlumbaan sokongan yang lain termasuk siri perlumbaan Toyota Gazoo Racing Vios Challenge dan juga ASEAN GR86 Cup iaitu acara yang hanya bermula sebagai perlumbaan domestik di Malaysia tahun lalu dan kini diperluas dengan penyertaan pelumba serantau.
Selain dari perlumbaan, ada juga acara lain yang akan berlangsung di Sepang pada hujung minggu yang sama, antaranya larian Ekiden anjuran Alumni Look East Policy Society (ALEPS) dan juga sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Tahun Melawat Selangor 2026 masing-masing dianjurkan oleh Tourism Malaysia dan Tourism Selangor.
Acara yang berlangsung tahun lalu merupakan kali pertama perlumbaan Super GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun di mana Sepang pernah menganjurkan perlumbaan tersebut bermula musim 2000 hingga 2013. Menerusi perjanjian yang dimeterai pada 2024, Malaysia akan terus menganjurkan Super GT sekurang-kurangnya sehingga 2027, dan setakat ini ia merupakan satu-satunya pusingan Super GT terkini yang dilangsungkan di luar Jepun, dan yang pertama sejak 2019.
Sebanyak lapan pusingan perlumbaan dirancang untuk siri perlumbaan Super GT bagi musim 2026 ini, bermula dengan pusingan pertama yang dilangsungkan di Litar Antarabangsa Okayama pada 11 hingga 12 April.
The post Autobacs Super GT 2026 – tiket pusingan Malaysia dah mula dijual bermula RM80; berlangsung 19-21 Jun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















