Sempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 (ASEAN 2025) yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober 2025 di Kuala Lumpur, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengambil langkah proaktif bagi memastikan kelancaran pergerakan orang ramai serta delegasi antarabangsa sepanjang persidangan berkenaan.
Memandangkan enam lebuhraya utama di Lembah Klang dan 25 laluan utama di pusat bandar Kuala Lumpur akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat sepanjang tempoh berkenaan, maka MOT menggalakkan orang ramai untuk menggunakan mod pengangkutan awam seperti perkhidmatan rel, bas dan van perantara.
Seperti perkhidmatan tren KLIA Ekpres dan Transit yang meningkat kekerapan perjalanan, Rapid KL juga akan melakukan perkara yang sama untuk perkhidmatan rel, bas dan van Rapid KL On Demand kendaliannya.
Menurut Rapid KL, bagi perkhidmatan rel, masa operasi bagi waktu puncak sepanjang ASEAN 2025 akan bermula jam 6.30 pagi hingga 10 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam, berbanding pada hari biasa iaitu 7 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang hingga 7.30 malam.
Bagi kekerapan pula, untuk LRT Laluan Sri Petaling/Ampang, tren akan tiba setiap empat minit (berbanding lima minit pada hari biasa), LRT Laluan Kelana Jaya pula setiap lima minit (berbanding tujuh minit pada hari biasa) serta Monorel dan MRT Laluan Kajang/Putrajaya pula adalah setiap lapan minit (berbanding 10 minit pada hari biasa).
Selain itu, terdapat beberapa laluan tertentu bagi perkhidmatan bas dan van Rapid KL On Demand yang dijangka terjejas berikutan penutupan jalan di sekitar pusat bandar. Laluan bas Rapid KL yang dijangka bakal mengalami kelewatan ialah Laluan 402 (LRT Titiwangsa-LRT Maluri), Laluan 302 (LRT Titiwangsa-KLCC), Laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya – Lebuh Ampang), dan perkhidmatan van Rapid KL In Demand pula melibatkan Zon Titiwangsa – Chow Kit.
Bagi pengguna perkhidmatan bas ke KLCC dan kawasan sekitarnya, disarankan untuk menggunakan perkhidmatan rel iaitu di Stesen KLCC, Stesen Persiaran KLCC, Stesen Raja Chulan, Stesen Conlay dan Stesen Bukit Bintang. “Rapid KL akan menempatkan 400 kakitangan tambahan di stesen utama bagi meningkatkan pemantauan operasi sepanjang tempoh sidang Kemuncak ASEAN 2025 ini,” kata MOT.
Walau bagaimana pun, MOT berkata, perkhidmatan KTM Komuter beroperasi seperti biasa, dan tiket boleh dibeli melalui laman web atau aplikasi KTMB Integrated Ticketing System (KITS).
“MOT menyeru warga kota untuk merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan pengangkutan awam bagi kelancaran trafik sepanjang sidang kemuncak berlangsung,” katanya lagi.
The post ASEAN2025: Waktu dan kekerapan perkhidmatan rel, bas dan Rapid KL On-Demand diumumkan, 27-28 Okt appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















