Hari ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), bersama rakan strategiknya Prosignal Consortium, telah melancarkan aplikasi navigasi baharu yang dinamakan TuJu. Nama tersebut dikatakan merupakan gabungan daripada perkataan “two” (merujuk kepada maklumat dua hala antara LLM dan pengguna) dan “julat” atau “jarak”.
Memasuki segmen yang sudah didominasi oleh aplikasi seperti Google Maps dan Waze, Tuju yang mula dibangunkan sejak tahun 2022 menawarkan beberapa ciri unik hasil kerjasama awam-swasta tersebut. Antaranya, aplikasi ini menyediakan akses kepada laporan trafik langsung (melalui Facebook) daripada pusat pengurusan trafik (TMC) LLM dan memaparkan pengiraan tol yang tepat, selain anggaran masa ketibaan (ETA) seperti biasa.
TuJu juga memaparkan senarai lengkap lokasi R&R, serta kemudahan yang tersedia seperti tandas, surau, kedai makan, stesen minyak dan juga pengecas EV. Pengguna turut boleh mengakses paparan CCTV lebuhraya secara langsung untuk menyemak sebarang kesesakan, kemalangan atau bencana alam.

Seperti Waze, pengguna juga boleh membuat laporan mengenai sebarang insiden seperti penutupan jalan dan sebagainya. Terdapat juga pautan ke aplikasi LLM yang lain iaitu MyJalan untuk pengguna membuat aduan berkaitan kerosakan jalan dan infrastruktur seperti jalan berlubang. Akhir sekali ialah butang SOS turut disediakan bagi membolehkan pengguna menghubungi perkhidmatan kecemasan dengan serta-merta. TuJu juga menggunakan data pemetaan dan POI Google serta teknologi daripada Maybank.
Buat masa ini, TuJu belum boleh diakses melalui Apple CarPlay atau Android Auto, walaupun seorang pegawai LLM memberitahu bahawa terdapat perancangan untuk mengemas kini aplikasi tersebut bagi menyokong ciri berkenaan pada masa hadapan. Walau bagaimana pun, TuJu boleh dimuatturun menerusi Apple App Store dan Google Play Store.
The post Aplikasi navigasi lebuhraya TuJu dilancar oleh LLM – info tol, R&R, akses CCTV lebuhraya, butang SOS dll appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















