Ini bukan lagi khabar angin – jenama ikonik Itali iaitu Alfa Romeo secara rasmi telah mengaktifkan laman web rasmi dan juga media sosial ‘Alfa Romeo Malaysia’, menandakan ia bakal kembali ke pasaran tempatan!
Malah kehadiran semula jenama itu bukanlah akan dimulakan dengan model-model entry level, sebaliknya Alfa Romeo Malaysia telahpun membuka pendaftaran minat (ROI) untuk sedan sport Alfa Romeo Giulia dan juga kembar SUVnya iaitu Stelvio.
Dalam pendaftaran minat yang boleh dibuat di laman web rasmi Alfa Romeo Malaysia tersebut mendedahkan kedua-dua model ini akan ditawarkan dalam varian Veloce, iaitu varian sporty satu anak tangga di bawah varian paling agresif Quadrifoglio.
Alfa Romeo Giulia Veloce digerakkan oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 280 PS dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF, bagi memacu roda belakang menerusi gandar yang dipadankan dengan LSD secara standard, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat. Manakala Stelvio Veloce menerima kelengkapan yang sama tetapi ditambah dengan sistem pacuan semua roda.
Kehadiran semula Alfa Romeo ke Malaysia sebenarnya sudahpun dibayangkan oleh pengarah urusan Stellantis ASEAN iaitu Isaac Yeo dalam temubual bersama paultan.org pada Ogos lalu. Beliau menyebut bahawa selain Leapmotor dan Peugeot, Stellantis turut akan membawa semula dua lagi jenama yang kini berada di bawah kumpulan tersebut iaitu Alfa Romeo dan Jeep.
Menurutnya lagi kehadiran dua jenama ikonik ini ke Malaysia kelak bukanlah secara besar-besaran dan bukan diuruskan secara terus oleh Stellantis Malaysia, sebaliknya Alfa Romeo dan Jeep akan diuruskan oleh entiti berbeza yang disifatkan sebagai ‘sistem model hibrid’ mengoperasikan perniagaan ‘gaya butik’ yang sesuai untuk menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil.
Walau bagaimanapun model perniagaan tersebut mungkin hanya untuk jangka masa pendek, dan mungkin Stellantis akan mengambil alih sepenuhnya semula selepas dua tahun. Stellantis juga berpotensi untuk mengembangkan lagi kehadiran Alfa Romeo di Malaysia kerana ia mempunyai fasiliti pemasangan di Gurun, Kedah yang pastinya mempunyai kebolehan untuk memasang model-model Alfa Romeo secara CKD di sini, seterusnya menawarkan harga yang lebih kompetitif.
The post Alfa Romeo kembali ke Malaysia – Giulia dan Stelvio Veloce dibayang sebagai model awalan, 280 PS/400Nm appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















