Jenama ikonik Alfa Romeo telah pun kembali ke pasaran Malaysia. Untuk pasaran tempatan, jenama ini dibawa masuk oleh Alfa Romeo Malaysia yang dikendalikan DLSB Partners Sdn Bhd, sebuah pengedar bebas dan ahli Atlantis Motor Group. Sebagai tanda ‘kembalinya’ ke Malaysia, Alfa Romeo Giulia 2025 telah pun dipamerkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia pada lewat petang ini.
Ia ditawarkan dengan varian Veloce iaitu varian sporty satu anak tangga di bawah versi paling agresif Quadrifoglio. Sedan mewah ini merupakan versi import sepenuhnya (CBU) yang dibawa masuk dari Itali. Ia direncana akan dilancarkan di sini pada tahun hadapan dan tempahannya telah pun dibuka. Buat masa ini, hanya harga jangkaan yang diumumkan iaitu dari RM400,000.
Alfa Romeo Giulia dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder sebaris dengan output 280 PS (276 hp atau 206 kW) pada 5,200 rpm dan tork maksima 400 Nm pada 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan yang memacu roda belakang menerusi gandar yang dipadankan dengan LSD secara standard. Gandingan sistem mekanikal ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat dan kelajuan maksimum mampu mencecah 240 km/j.

Untuk sistem suspensinya, ia diberikan double wishbone dengan talaan-sport untuk hadapan dan AlfaLink dengan vertical rod link di belakang yang berkeupayaan membahagikan kadar berat hampir 50:50 dan penggunaan komponen aluminium yang meluas. Manakala bagi sistem breknya, ia diberikan cakera ventilasi untuk hadapan dan belakang.
Sedan mewah ini memiliki dimensi berukuran 4,643 mm panjang, 1,436 mm tinggi, 1,860 mm lebar dan jarak roda 2,820 mm dengan jarak kelegaan tanah pula cecah 100 mm dan mempunyai ruang but berkapasiti 480 liter. Giulia juga mampu memberikan persaingan buat BMW 3 Series, Audi A4, Lexus IS dan Mercedes-Benz C-Class.
Untuk penampilan luarannya, pastinya Alfa Romeo Giulia ini diberikan DNA ikonik Alfa Romeo, dengan setiap lengkung dibentuk teliti melalui terowong angin untuk memberikan kestabilan dan keyakinan pada kelajuan tinggi. Bahagian hadapannya diserapkan elemen sporty dan mewah termasuk gril “Trilobo” ikonik yang dipadankan dengan lampu hadapan LED Adaptive Matrix “3+3”.

Ia juga diberikan roda aloi 19-inci, lampu belakang LED dan pastinya bersama ciri spesifik untuk Veloce iaitu kaliper brek Brembo merah, lencana Veloce, kit penggayaan gelap, diffuser belakang sport, rona hitam berkilat pada keliling tingkap, bampar belakang khas dan cermin belakang dengan lapisan gelap.
Menjengah bahagian kabinnya, sentuhan elegan merajai segenap ruang, walau pun papan pemukanya minimalis dan masih dengan imej konvensional. Antara ciri kelengkapan yang diberikan ialah roda stereng balutan kulit yang disepadukan dengan butang penghidup enjin, pedal penukar gear aluminium, kluster instrumen digital “Cannocchiale” 12.3-inci, skrin sesentuh infotainmen 8.8-inci, Apple CarPlay dan Android Auto serta kawalan suhu automatik dwi-zon.
Selain itu, ia juga menampilkan tempat duduk sport kemasan kulit rona hitam dengan jahitan kontras kelabu, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa enam-hala dan fungsi heated, sistem bunyi Harman Kardon bersama 14-pembesar suara, port USB 2.0 dan USB-C, kemasan kulit pada papan pemuka dan panel pintu, dan sport pedal kemasan aluminium.
Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Alfa Romeo Giulia diberikan ciri ADAS Tahap 2 secara standard yang merangkumi Adaptive Cruise Control, Lane Departure Warning, Lane Keep Assist, Lane Centering, Driver Attention Alert, Forward Collision Warning, Integrated Brake System (IBS), Active Blind-Spot Assist, Rear Cross-Path Detection, Traffic Sign Recognition, Intelligent Speed Assist, Parking Assist dan kamera belakang dengan garisan panduan dinamik.
Ia juga diberikan lapan beg udara, Traction control (ASR), Electronic Stability Control (ESC), brake assist, Hill-Start Assist, dan Tire-Pressure Monitoring System (TPMS).
Sekali lagi, tempahan untuk Alfa Romeo Giulia Veloce telah dibuka dan harga jangkaannya sekitar RM400k. Anda boleh ke ke ‘Casa Alfa Romeo’ yang merupakan Pusat 3S Flagship (jualan, servis dan alat ganti) yang terletak di RS-G-1, Rhapsody Square, TREC Kuala Lumpur, untuk pandu uji dan menempah sedan mewah ini sekiranya berminat.
Risalah spesifikasi Alfa Romeo Giulia facelift untuk pasaran Malaysia
The post Alfa Romeo Giulia Veloce dibuka tempahan di M’sia – 2.0L turbo, 280 PS/400 Nm, 8AT; dijangka dari RM400k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



































































































































