Akta Pekerja Gig 2025 yang telah diwartakan pada 31 Disember lalu dijangka berkuat kuasa pada bulan Mac, selepas semua mekanisme pelaksanaan termasuk penubuhan majlis perundingan, tribunal serta pejabat berkaitan dimuktamadkan. Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau turut menjelaskan bahawa keanggotaan majlis perundingan pekerja gig akan diumumkan kemudian, dengan keutamaan diberikan kepada platform utama seperti Grab. Menurut laporan Bernama, Ramanan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Grab Partner Campus atau Kampus Rakan Grab di Petaling Jaya.
Akta Pekerja Gig digubal dengan matlamat untuk melindungi keselamatan sosial, kebajikan dan maruah pekerja gig, termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing. Akta ini juga bertujuan memperluaskan perlindungan yang setara dengan pekerja formal kepada lebih 1.2 juta individu yang terlibat dalam sektor berkenaan.
Ramanan berkata Grab telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pekerja gig berdaftar mereka kepada 15 peratus, berbanding 10 peratus sebelum ini. Selain itu, Grab juga akan menyediakan latihan serta program peningkatan kemahiran kepada 5,000 pekerja sepanjang tahun ini, dengan sokongan pembiayaan kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Kemahiran.
Mengulas mengenai pengawalseliaan pendapatan pekerja gig, Ramanan menegaskan bahawa gaji minimum kebangsaan sebanyak RM1,700 kekal sebagai garis asas, manakala kadar bayaran untuk penghantar dan pemandu ditentukan oleh setiap platform. Beliau menolak cadangan penetapan kadar minimum seragam bagi perkhidmatan penghantaran kerana ia berpotensi membebankan platform e-hailing yang masih berusaha mencapai keuntungan.
Menurutnya, pendekatan seimbang perlu diambil bagi memastikan kebajikan pekerja terus terpelihara tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan. Ramanan menekankan bahawa menjaga kebajikan pekerja semata-mata tanpa mengambil kira realiti perniagaan bukanlah penyelesaian jangka panjang, sebaliknya keseimbangan antara kedua-duanya adalah kunci kepada kestabilan industri gig, khususnya dalam sektor pengangkutan dan mobiliti.
The post Akta Pekerja Gig akan dikuatkuasa Mac ini – anggota majlis perundingan diumum kemudian – menteri HR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















