Sony Honda Mobility (SHM), satu usaha sama antara Sony dan Honda, kembali ke Pameran Elektronik Pengguna (CES) tahun ini dengan memperkenalkan prototaip baru yang memberi gambaran kepada kenderaan elektrik (EV) masa depan yang akan menyertai Afeela 1 dalam barisan produk mereka.
Dikenali secara rasmi sebagai Afeela Prototype 2026, prototaip ini berbentuk crossover dan menampilkan rekaan sederhana yang serupa dengan model sedan Afeela 1. Antara elemen reka bentuk yang dapat dilihat adalah visor hadapan dengan skrin LCD, LiDAR serta sensor-sensor yang berkaitan dengan ADAS (Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan) yang dipasang pada bumbung, pintu kuasa automatik, jalur lampu belakang lebar penuh dan bentuk rim aerodinamik.
Walaupun SHM menunjukkan rekaan luaran prototaip ini, tiada maklumat terperinci diberikan mengenai spesifikasi teknikal atau gambaran mengenai bahagian dalamannya. Bagaimanapun, pihak syarikat mengesahkan bahawa model pengeluaran akan dilancarkan di Amerika Syarikat pada tahun 2028.
Selain prototaip tersebut, Afeela 1 turut dipamerkan di pentas yang sama. Afeela 1 dijangka mula dijual pada tahun ini dengan harga permulaan sekitar USD89,900 (lebih kurang RM364,000). Sejak tempahan untuk sedan elektrik ini dibuka pada Januari tahun lalu, SHM telah membuka bilik pameran Afeela Studio dan mengadakan pameran kenderaan di pelbagai lokasi.
Pada musim luruh 2025, pengeluaran percubaan Afeela 1 telah dimulakan di kilang pengeluar kontrak Honda di East Liberty Auto Plant, Ohio, Amerika Syarikat. Ini merupakan sebahagian daripada proses persediaan untuk pengeluaran secara besar-besaran, dengan unit-unit pengeluaran pertama dipamerkan di CES 2026. Penghantaran Afeela 1 dijangka bermula di California pada tahun ini, diikuti Arizona pada 2027. Penghantaran ke Jepun dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun 2027.
The post Afeela Prototype 2026 – kereta konsep baru kerjasama Sony dan Honda, petunjuk model pasaran tahun 2028 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.






























