Perkhidmatan aerotrain di Terminal 1 KLIA akan digantung setiap hari dari jam 9 malam hingga 7 pagi selama sebulan mulai esok, 15 November 2025, untuk kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikian.
Perkara ini diumumkan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang akan mengaktifkan pelan tindakan komprehensif di bawah Tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) bagi sistem Aerotrain tersebut yang akan dilaksana hingga 15 Disember ini, laporan Free Malaysia Today.
“Bermula esok, kami akan memulakan pelan tindakan komprehensif ini, dengan perkhidmatan tren akan dihentikan sementara antara jam 9 malam hingga 7 pagi keesokan harinya.
“Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan bas akan beroperasi sepenuhnya bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang di antara bangunan terminal dan satelit dan sebaliknya,” kata Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani, dalam taklimat media mengenai pelan tindakan terbabit.
Beliau menambah, pelan itu bertujuan meningkatkan kebolehpercayaan aerotrain melalui pendekatan yang berkaedah dan berstruktur, direka bagi mengukuhkan lagi prestasi serta daya tahan sistem itu menjelang akhir tempoh liabiliti kecacatannya.

Jelasnya, kerja-kerja pemeriksaan harian itu akan meliputi bekalan kuasa, isyarat, komunikasi, kenderaan, guideway, peralatan keselamatan dan suis.
Selain itu, katanya, program tersebut akan dijalankan dalam tiga peringkat iaitu pencegahan punca utama, naik taraf perkakasan dan perisian, serta pemeriksaan penuh sistem tren. Ujian tekanan masa nyata dan operasi percubaan akan dilakukan sebelum perkhidmatan penuh disambung semula.
“Aerotrain telah merekodkan 98.41% ketersediaan operasi sejak 1 Julai, dengan menyelesaikan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik dan membawa lebih tujuh juta penumpang sehingga 10 Nov,” katanya.
Pada 28 Oktber lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengeluarkan arahan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk membuka kertas siasatan terhadap MAHB.
Sebelum itu, pada 13 Oktober 2025, timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan bahawa perkhidmatan Aerotrain telah mengalami gangguan sebanyak 19 kali antara 2 Julai hingga 30 September 2025. Gangguan terhadap perkhidmatan Aerotrain itu antaranya berkaitan isu teknikal, seperti semboyan dan disebabkan manusia, seperti penumpang cuba membuka pintu.
The post Aerotrain KLIA akan digantung operasi setiap hari 9mlm-7pg, 15 Nov-15 Dis; untuk diperiksa, dibaiki appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















