Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan langkah menaikkan harga minyak ketika negara berdepan krisis bekalan global, laporan Harian Metro.
Katanya, kerajaan akan terus berusaha menanggung kos subsidi bahan api dengan mengeluarkan perbelanjaan besar setiap bulan bagi mengelakkan rakyat terbeban.
“Berapa satu bulan kita tampung? Bukan dalam peruntukan yang lama, tetapi ketika harga minyak naik, kita bayar RM5 bilion sebulan, RM3 bilion sebulan pun ada. Kemudian naik sampai RM7 bilion sebulan, sekarang turun balik RM4 bilion, RM5 bilion sebulan tambahan,” kata beliau ketika berucap melancarkan Program Himpunan Rakan Muda Madani di Sungai Petani, Kedah, semalam.
Beliau menambah sekiranya kerajaan mengeluarkan sebanyak RM3 bilion setiap bulan untuk tempoh 10 bulan, jumlahnya mencecah RM30 bilion. Walaupun jumlah itu tinggi, katanya, kerajaan mampu menampungnya menerusi langkah penjimatan selain menghentikan ketirisan dana negara.
Dalam masa yang sama, beliau turut menolak cadangan pihak tertentu agar kerajaan membuat pinjaman atau berhutang bagi membolehkan kerajaan terus menampung kos subsidi minyak.
“Kalau suruh hutang, saya boleh hutang sekarang, lepas itu saya tinggalkan kerajaan, anak-anak yang harus bayar. Sebab itu jalan keluarnya bukan hutang, jadi kita lakukan apa yang kita mampu,” kata beliau yang menambah bahawa langkah kerajaan itu membolehkan harga minyak di negara ini, khususnya petrol RON95 yang ditetapkan pada harga RM1.99 seliter, menjadi antara yang terendah di dunia.
The post Kerajaan tidak setuju naikkan harga minyak, sedia tanggung kos subsidi elak rakyat terbeban – PMX appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















