WTC Automotif (WTCA), yang bernaung di bawah Kumpulan Tan Chong yang terlibat dalam pengedaran dan pemasangan kenderaan GAC di Malaysia telah memulakan eksport GAC GS3 Emzoom ke Vietnam. SUV segmen-B ini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Tan Chong di Segambut, Kuala Lumpur, dan ia juga telah dilancarkan di pasaran tempatan pada Ogos 2024.
“Mengeksport GAC GS3 Emzoom pemanduan sebelah-kiri (LHD) yang dipasang secara tempatan ke Vietnam merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi WTCA dan ia menonjolkan kekuatan kerjasama kumpulan automotif kami dengan GAC International. Ia membuktikan pengalaman serta keupayaan pemasangan tempatan Kumpulan Tan Chong sebagai sebuah kilang CKD penuh yang turut mempunyai kemudahan mengecat untuk menghasilkan kenderaan buatan Malaysia yang berkualiti tinggi. Pencapaian ini juga menunjukkan kesiapsiagaan kami untuk menyokong strategi pertumbuhan serantau GAC.
“Kami amat berterima kasih dan menghargai sokongan serta bimbingan berterusan daripada GAC International, di samping sokongan strategik daripada agensi-agensi kerajaan utama seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Kerjasama mereka telah memainkan peranan penting dalam merealisasikan program eksport ini. Pencapaian ini mencerminkan kejayaan Dasar Automotif Nasional Malaysia dalam memperkukuhkan sektor pembuatan tempatan, program bagi vendor tempatan, serta mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab automotif utama di ASEAN,” kata James Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings.

WTCA menyatakan bahawa kilang di Segambut telah dinaik taraf bagi memenuhi keperluan eksport. Komponen badan kenderaan tertentu juga telah dipertingkatkan untuk menyokong pengeluaran kenderaan LHD, sekali gus memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian yang ditetapkan oleh GAC International. WTCA turut menjelaskan bahawa piawaian tersebut menjadi asas kukuh kepada program vendor tempatan bagi eksport model LHD kedua dari Segambut, dalam apa yang disifatkan sebagai operasi eksport ke Vietnam yang “tersusun dan mampan”.
“WTCA dan GAC International juga sedang giat membangunkan model Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) dalam bentuk CKD untuk pasaran domestik serta memperluaskan eksport ke pasaran ASEAN yang lain selaras dengan visi kerajaan Malaysia. Maklumat lanjut mengenai destinasi eksport seterusnya dan penambahan barisan model akan diumumkan pada masa yang sesuai apabila perancangan tersebut ada perkembangan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
GS3 Emzoom yang tampil dengan reka bentuk yang tajam dan moden ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo GDI yang menghasilkan 177 PS dan 270 Nm tork, dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan. Setelah dikemas kini pada bulan lalu, harganya kini bermula dari RM116,800 bagi varian Exclusive hingga RM126,800 bagi varian Premium R.
The post Tan Chong eksport GAC GS3 Emzoom pemanduan sebelah-kiri ke Vietnam – NEV CKD akan datang appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















