LRT Laluan Ampang/Sri Petaling yang mengalami insiden tren tergelincir semalam dijangka kembali beroperasi sepenuhnya seawal Rabu depan (3 Jun), sempena permulaan minggu kerja yang singkat bagi penduduk Lembah Klang. Dua hari pertama minggu hadapan merupakan cuti umum, dan ramai yang mengambil cuti panjang sempena Hari Raya Aidiladha.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika beliau melawat lokasi kejadian tren tergelincir pagi tadi. Tren tersebut tergelincir di kawasan pertukaran landasan tidak jauh dari stesen LRT Chan Sow Lin. Mujur tiada kecederaan dilaporkan dan kesemua 25 penumpang dalam gerabak yang terlibat berjaya dipindahkan dengan selamat.
Pastinya Prasarana Malaysia harus bekerja keras sepanjang hujung minggu yang panjang ini kerana tren yang terkandas perlu dialihkan terlebih dahulu menggunakan kren khas sebelum kerja-kerja pembaikan landasan dapat dimulakan. Loke turut menjelaskan bahawa sebagai langkah keselamatan, tren di laluan ini akan bergerak pada kelajuan lebih perlahan selama beberapa hari sebelum kembali beroperasi seperti biasa.
Buat masa ini, tren dari Ampang menuju ke Sentul Timur akan berhenti di Stesen Chan Sow Lin sebelum berpatah balik ke Ampang bagi memberi laluan kepada kerja pembaikan di lokasi kejadian.
Tren dari Sentul Timur (pusat bandar KL) akan berpatah balik di Pudu, namun penumpang boleh turun dan menaiki tren alternatif dari Pudu ke Cheras, dengan Chan Sow Lin sebagai stesen di antaranya. Begitu juga, tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Bandar Tasik Selatan, tetapi terdapat perkhidmatan tren perantara untuk menghubungkan laluan yang terjejas.
Sudah tentu perjalanan anda akan mengambil masa lebih lama dan memerlukan pertukaran tren, namun anda masih boleh melalui kawasan yang bermasalah itu menggunakan laluan ini. Sebagai alternatif, terdapat bas perantara percuma turut disediakan antara Stesen Hang Tuah, Cheras dan Pandan Jaya. Kekerapan bas adalah setiap 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.
Rujuk info grafik di bawah untuk mengetahui operasi bagi tren alternatif berkenaan.

The post LRT Laluan Ampang/Sri Petaling beroperasi sepenuhnya seawal 3 Jun susulan tren tergelincir appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

























