Proton hari ini memngumumkan bahawa ia telah menyumbang sebanyak lapan buah enjin kepada beberapa institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terpilih serta pusat pengajian tinggi di Malaysia.

Antara institut dan universitu yang menerima enjin-enjin berkenaan adalah termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) Marang di Terengganu, Kolej Vokasional Arau di Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti DRB-HICOM dan Institut Proton (ADTEC) Melaka.

Menurut Proton, unit enjin yang disumbangkan tersebut akan digunakan sebagai alat bantu mengajar bagi pelbagai aplikasi teknikal termasuk pemasangan dan pembukaan enjin, diagnostik, pengenalan kepada ECU, analisis komponen serta latihan penyelenggaraan praktikal.

“Pendedahan kepada sistem automotif dunia sebenar ini membolehkan pelajar memahami dengan lebih mendalam kerumitan kejuruteraan kenderaan moden, sekali gus merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan industri,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Proton sumbang 8 enjin kepada beberapa institut latihan dan universiti untuk pembelajaran TVET
Proton sumbang 8 enjin kepada beberapa institut latihan dan universiti untuk pembelajaran TVET

Syarikat itu turut menyatakan bahawa inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusannya dalam memperkukuh ekosistem automotif negara di samping menyokong pembangunan graduan yang bersedia untuk industri menerusi pendedahan kepada pengetahuan teknikal dan praktikal sebenar.

“Memainkan peranan aktif dalam pembangunan tenaga kerja mahir merupakan antara komitmen utama Proton dalam menyokong pertumbuhan industri automotif Malaysia. Ia adalah tanggungjawab yang dipikul syarikat sejak penubuhannya pada tahun 1983, dan kini menjadi semakin penting berikutan peningkatan permintaan daripada pengeluar peralatan asal (OEM) dan pembekal komponen sejajar aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab automotif serantau,” kata timbalan CEO Proton Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa.

“Menerusi pengagihan unit enjin kepada universiti dan institusi latihan teknikal, Proton bukan sahaja melabur untuk masa depan industri, malah membantu melahirkan kumpulan bakat yang mempunyai pendedahan terus kepada teknologi automotif dan amalan kejuruteraan moden. Pada masa hadapan, kami juga bercadang untuk memperluaskan inisiatif ini dengan melibatkan komponen berkaitan EV sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan,” tambahnya.

The post Proton sumbang 8 enjin kepada beberapa institut latihan dan universiti untuk pembelajaran TVET appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts