Dengan membawa lima kereta dan 10 orang pelumba ke pusingan pertama siri perlumbaan Thailand Super Series (TSS) 2026, pasukan lumba dari Malaysia iaitu Wing Hin Motorsport berjaya menyapu enam kedudukan podium termasuk dua kemenangan sepanjang acara yang berlangsung hujung minggu lalu yang berlangsung dari 21 hingga 24 Mei di Chang International Circuit, Burriram.
Dua dari podium tersebut dicapai dalam kelas GT4 apabila jentera Toyota GR Supra GT4 Evo2 yang dipandu oleh pasangan Mitchell Cheah dari Malaysia dan Ryan Wong dari Hong Kong menghabiskan Race 1 di kedudukan kedua secara keseluruhan, dan menang untuk kategori Pro Am. Tambah menarik, kejayaan ini dicapai selepas pitstop mandatori dibuat di mana tugas dari Wong disambung oleh Mitchell, dan pelumba berusia 28 tahun itu memintas kereta di hadapan satu demi satu dari kedudukan ke-7 sehingga ke-2 dalam 30 minit terakhir perlumbaan yang dilangsungkan selama sejam tersebut.
Manakala untuk Race 2, Mitchell yang memulakan perlumbaan dari petak pertama pada awalnya berjaya menjarakkan kedudukan dari pelumba lain, namun momentum tersebut hilang apabila Safety Car keluar hanya tiga minit selepas perlumbaan bermula. Ini memberikan peluang untuk empat jentera GT4 lain menyerang Mitchell menyebabkan dia jatuh ke tempat ke-4. Wong kemudiannya mengambil tugas dan menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Manakala empat lagi podium diraih dalam kelas Super Touring, di mana Wing Hin mempertaruhkan dua Toyota Vios dan dua Toyota Yaris. Sorotan bagi perlumbaan kelas ini adalah Vios #36 yang masih menggunakan enjin NA dipandu oleh pasangan Amer Harris dan Nabil Azlan, yang mempamerkan semangat juang yang tinggi bertarung dari awal hingga tamat kedua-dua Race 1 dan Race 2, diasak oleh ‘segerombolan’ Honda CR-Z dari pasukan-pasukan Thailand dijana oleh enjin turbo yang mempunyai kelebihan besar pada laluan lurus.
Untuk Race 1, Vios #36 tersebut hanya menamatkan perlumbaan di tempat kelima secara keseluruhan namun masih mencapai kedudukan podium apabila mendapat tempat kedua untuk kategori Touring-NA. Manakala Yaris #38 yang dipandu oleh Dannies Ng dan Jwan Hii pula mendapat tempat ke enam keseluruhan dan ketiga kategori Touring-NA.
Manakala untuk Race 2, penonton disajikan dengan aksi dogfight antara Vios #36 dengan beberapa Honda CR-Z Turbo di mana kedudukan pendahulu perlumbaan sering bertukar-tukar dari mula hingga akhir. Kemuncak aksi berkenaan adalah pada lap kedua terakhir apabila CR-Z yang dipandu P. Pasarit melanggar tayar belakang Vios yang dipandu Nabil, menyebabkan tayar depan sebelah kanan CR-Z berkenaan pecah.
Ini membolehkan Nabil selesa berada di hadapan untuk mengharungi lap terakhir, dan membolehkan Yaris yang di pandu Jwan-Hii berada pada kedudukan kedua. Namun pada lap terakhir, Jwan Hii masih perlu bertarung dengan sebuah lagi Vios milik pasukan Toyota Gazoo Racing Thailand dipandu oleh Ayrton Asdarthon.
Pertarungan sengit tersebut berlanjutan sehingga ke garisan penamat dengan aksi Jwan Hii hampir berpusing 180-darjah pada selekoh terakhir selepas dilanggar oleh Ayrton dari belakang, namun dia berjaya mengawal Yaris tersebut dan melepasi garis penamat kekal di tempat kedua.
Walau bagaimanapun, selepas habis perlumbaan pengarah perlumbaan memberikan penalti 5 saat kepada Vios #36 dalam insiden yang menyebabkan tayar CRZ Pasarit pecah. Ini membolehkan Yaris #38 Wing Hin diisytihar juara Race 2, dan Vios #38 jatuh ke tempat ketiga.
“Ia keputusan 1-2 yang sangat baik untuk kami. Ini merupakan kali pertama saya berlumba dalam Kelas Super Touring. Tahun lepas pasukan ini juga mempunyai peluang untuk merebut kejuaraan keseluruhan tetapi semuanya tidak berjalan seperti yang dirancang. Masih terlalu awal untuk meramalkan dengan hanya satu pusingan yang baru selesai, tetapi ini sememangnya permulaan yang sangat baik,” kata Amer Harris.
“Ia merupakan perlumbaan yang sangat menarik hari ini! Pasukan ini telah mencapai kemajuan yang sangat kukuh dalam menjadikan kereta ini kompetitif dan kami percaya kami mempunyai peluang yang baik pada pusingan akan datang,” tambahnya.
Pusingan pertama Thailand Super Series 2026 ini turut disertai oleh beberapa pelumba Malaysia lain, antaranya Hayden Haikal yang memandu Toyota GR Supra GT4 #77 pasukan Petrolife Racing Team mendapat tempat kedua dalam Race 2 GT4, adiknya Aaron Haikal yang menjadi juara Race 2 kategori Super Eco dengan memandu Suzuki Swift pasukan Dyno Dynamics & Spy Performance by V-Are Pro Garage #82 dan juga Roni Risman juara Race 3 Super Eco dengan memandu Honda Brio pasukan BKC Motorsport #65.
Pusingan kedua TSS selepas ini akan berlangsung di litar jalan raya Bangsaen Grand Prix International Street Racing Festival di Chonburi bermula 1-5 Julai. Pusingan 3 dan 4 pula akan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang masing-masing dari 21-23 Ogos dan 18-20 September, manakala untuk pusingan akhir akan kembali ke Litar Antarabangsa Chang dari 30 Okt-1 Nov.
The post Wing Hin sapu enam podium termasuk 2 kemenangan di pusingan pertama Thailand Super Series 2026 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


































