Bermula Khamis ini iaitu pada 28 Mei 2026, pengguna jalan raya yang mahu ke Genting Highlands perlu membayar caj jalan raya yang akan dikenakan ketika memasuki Jalan Genting Highlands. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang semalam, Lingkaran Cekap (LCSB) iaitu pengendali sah rangkaian jalan raya Genting Highlands berkata, pembayaran akan dikutip di plaza yang terletak di dua pintu masuk, iaitu di Genting Sempah dan bulatan Gohtong Jaya.

Di bawah struktur caj jalan raya, kenderaan Kelas 1 seperti kereta dan van akan dikenakan bayaran RM5 setiap kali masuk di kedua-dua pintu masuk. Kenderaan Kelas 2 seperti lori bersaiz sederhana perlu membayar RM15, manakala lori berat Kelas 3 akan dikenakan bayaran RM25. Teksi (Kelas 4) pula perlu membayar RM3.30, manakala bas (Kelas 5) perlu membayar sebanyak RM5.

Menurut LCSB, semua kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5 dikehendaki melalui “Lorong Khas” yang ditetapkan atau menggunakan sistem pengecaman plat lesen (LPR), manakala kenderaan kecemasan dan motosikal akan dikecualikan daripada caj jalan raya serta tanpa memerlukan pendaftaran.

Caj bayaran jalan Genting Highland akan bermula 28 Mei ini di 2 pintu masuk – kereta RM5, lori RM15-RM25

Seperti yang sudah dinyatakan oleh LCSB sebelum ini, kenderaan persendirian milik penjawat awam yang bekerja di institusi kerajaan yang ditetapkan di Genting Highlands akan dikecualikan daripada perlu membayar caj jalan raya, tertakluk kepada pendaftaran dan kemasukan melalui LPR dan lorong khas. Institusi yang ditetapkan, termasuk sekolah, balai polis dan bomba serta pejabat dan klinik daerah, adalah:

  • SK Sri Layang
  • SMK Sri Layang
  • Institut Amiruddin Baki
  • Balai Polis Genting Highlands
  • Balai Polis Gohtong Jaya
  • Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands
  • Klinik Desa Sri Layang
  • Pejabat Daerah Kecil Genting Highlands
  • Pejabat Daerah dan Tanah Bentong
  • Pejabat Cawangan Majlis Perbandaran Bentong (Cawangan Genting Highlands)
  • Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang (Cawangan Genting Highlands), dan
  • Mana-mana institusi kerajaan yang terletak di Genting Highlands yang dikenal pasti dan dinamakan oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa

LCSB juga mengumumkan bahawa bermula 28 Jun, penduduk tetap Genting Highlands yang layak akan dikenakan caj dengan kadar keutamaan iaitu 10% lebih rendah daripada kadar biasa setiap kemasukan, namun setiap isi rumah hanya boleh mendaftar sehingga dua kenderaan Kelas 1 untuk mendapatkan kadar ini. Kenderaan-kenderaan yang layak dikenakan kadar caj lebih rendah tersebut perlu melalui lorong khas atau dikesan menerusi LPR. Pengedali itu turut menambah bahawa kenderaan-kenderaan yang berdaftar tersebut tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun ini.

Di samping itu, LCSB turut akan menawakan opsyen yang lebih mudah dan murah untuk penduduk tetap yang berdaftar iaitu menerusi skim pas musim selama enam bulan. Dengan pas ini, pengguna boleh masuk ke Jalan Genting Highlands tanpa had sepanjang tempoh sah lakunya, melalui LPR atau lorong khas. Namun harga untuk pas ini masih belum dinyatakan, tetapi LCSB jamin bahawa pilihan ini akan menawarkan penjimatan kos yang ketara, dan penduduk tetap yang berminat dengan pas musim boleh mendapatkannya dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran yang diperlukan.

The post Caj bayaran jalan Genting Highland akan bermula 28 Mei ini di 2 pintu masuk – kereta RM5, lori RM15-RM25 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts