Setelah menunjukkan iklan teaser pada 15 Mei lalu, Chery Malaysia hari ini mempertontonkan secara rasmi model SUV flagship terbaru jenama China itu untuk pasaran tempatan, Chery Tiggo 9. Harga anggaran bagi SUV ini ialah RM189,000, dengan tempahan juga sudah mula dibuka hari ini.
Chery Tiggo 9 akan menjadi penambahan terbaru dan paling tinggi bagi barisan produk Chery di Malaysia, yang ketika ini antara lain terdiri daripada Tiggo 8 Pro, Tiggo 8 PHEV, Tiggo 8, Tiggo 7 Pro, Tiggo 7 PHEV dan juga yang paling kecil, Tiggo Cross.
Chery Tiggo 9 yang dipertontonkan ini dilengkapi enjin 2.0 liter turbo TGDi dengan sistem pacuan empat roda sebagai penawaran sulung model berkenaan di sini. Versi dengan rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) Chery Super Hybrid (CSH) berkemungkinan akan diperkenalkan selepas versi pembakaran ini kelak.

Unit janaan kuasa yang ada ini menghasilkan sebanyak 256 PS dan 390 Nm tork, sama seperti yang ditawarkan untuk model Tiggo 8 Pro sebelum ini. Ini digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan. Tidak seperti Tiggo 8 Pro yang hanya memacu roda hadapan, Tiggo 9 ini diberikan sistem AWD yang datang dengan tujuh mod iaitu Eco, Normal, Sport, Sand, Mud, Snow dan Off-Road. Kadar penggunaan minyaknya pula ialah 8.3L per 100 km. Untuk pecutan 0-100 km/j, SUV ini memerlukan masa 9.3 saat.
Tiggo 9 mempunyai ukuran dimensi 4,810 mm panjang dan 1,925 mm lebar, menjadikannya 88 mm lebih panjang dan 65 mm lebih lebar berbanding Tiggo 8 Pro. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,800 mm, atau 90 mm lebih panjang berbanding Tiggo 8 Pro.
Bagaimanapun, berbanding “sepupunya” Jaecoo J8, Tiggo 9 ini 10 mm lebih pendek, 5 mm kurang lebar dan jarak rodanya juga adalah 20 mm lebih dekat. Untuk ruangan but untuk barangan, kapasiti yang tersedia ialah 449 liter dengan semua kerusi dinaikkan, dan boleh dilaras untuk mencapai kapasiti maksimum 2,065 liter dengan kerusi penumpang belakang direbahkan.

Dari segi rekaan, Tiggo 9 lengkap dengan lampu LED penuh untuk bahagian depan dan belakang, termasuk lampu DRL dan juga lampu kabusnya. Lampu isyarat pula jenis LED sequential light untuk menyuntik lebih elemen mewah untuk SUV segmen D ini. Selain itu ada juga landasan bumbung untuk membawa barangan tambahan untuk keperluan gaya hidup aktif.
Antara kelengkapan yang ditawarkan bagi Chery Tiggo 9 termasuklah rim aloi 20-inci “rekaan mewah”, skrin sentuh untuk infotainmen bersaiz 15.6-inci yang dikuasakan oleh chip Snapdragon 8155 keluaran Qualcomm, paparan head-up serta paparan kluster meter pemandu bersaiz 10.25-inci.
Sementara itu untuk tempat duduk pemandu pula, ciri larasan kuasa 10-hala disediakan, begitu juga dengan fungsi pengalir udara dan pengurut pada tempat duduk hadapan, pengalir udara pada tempat duduk baris kedua, serta sistem bunyi Sony dengan 14-pembesar suara termasuk di dalam perehat kepala tempat duduk hadapan. Tidak ketinggalan, ciri lampu ambient dengan 64-warna.

Dari sudut keselamatan pula, Chery Tiggo 9 ini lengkap dengan 10-beg udara, sensor parkir depan belakang, paparan keliling 540-darjah HD, Isofix, ABS, EBD dan lain-lain. Ia juga dilengkapi dengan sistem ADAS 2.5 yang antara lain terdiri antaranya daripada ciri kawalan lampu tinggi pintar, amaran perlanggaran depan (FCW), kawalan melayar adaptif (ACC), bantuan menukar lorong (LCA), pengesan titik buta (BSD), amaran perlanggaran belakang (RCTA) dan lain-lain.
Pilihan warna badan yang diberikan ada dua, iaitu Matte Grey dan Carbon Black. Seperti dinyatakan awal tadi, harga anggaran bagi Chery Tiggo 9 ialah RM189,000. Kepada pelanggan yang membuat tempahan awal yang mula dibuka hari ini, mereka akan menikmati kelebihan tempoh jaminan kenderaan selama tujuh-tahun/150,000 km dan juga jaminan enjin selama tujuh-tahun/150,000 km. Sempena pelancaran rasminya nanti, pakej istimewa pembeli terawal turut akan diumumkan.
The post Chery Tiggo 9 dipertonton di Malaysia — SUV segmen D <em>flagship</em>, 2.0T 256 PS/390 Nm; anggaran RM189k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


































































































































































