Seorang wanita berusia lingkungan 80-an ditahan polis kerana memandu melawan arus di KM10.8 Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) pada Isnin (18 Mei 2026). Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Petaling Jaya, Shamsudin Mamat berkata penahanan dibuat selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Dalam video berdurasi hampir dua minit itu, kenderaan warga emas berkenaan dipandu melawan arus sebelum melepasi seorang penunggang motosikal yang merakam kejadian. Apqbila menyedari insiden, penunggang motosikal berkenaan segera mengejar kenderaan wanita tersebut sambil membunyikan hon pada kenderaan bertentangan dalam usaha menghentikannya, dan turut bergerak melawan arus.
Siasatan awal mendapati wanita berkenaan dipercayai sesat ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sekitar jam 9.30 malam dan memandu melawan arus bagi mencari jalan keluar dari lebuh raya. Syukur, tiada kemalangan melibatkan kenderaan tersebut dilaporkan berlaku.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi ibu pejabat polis Petaling Jaya.
Ini mungkin kesilapan yang tidak disengajakan, namun tidak sepatutnya terus memandu melawan arus sekiranya tersalah jalan. Anda sepatutnya memberi isyarat kepada pengguna jalan raya lain bahawa anda sedang bergerak ke arah yang salah dan segera memandu kenderaan ke bahu jalan sebelum berhenti untuk menilai keadaan serta tindakan seterusnya, seperti membuat pusingan-U apabila keadaan benar-benar selamat.
Untuk individu lanjut usia sebegini pula, adalah tidak wajar untuk ‘dibenarkan’ memandu berseorangan terutamanta pada waktu malam ekoran bimbang akan keselamatan dirinya dan juga pengguna jalan raya yang lain sekiranya terjadinya perkara yang tidak terduga begini. Ini bukan kes pertama yang melibatkan warga emas memandu melawan arus. Harap perkara sebegini dapatlah dielakkan dengan pemantauan ahli keluarga agar tidak membiarkan ibu bapa atau datuk nenek anda dibiarkan memandu sendirian.
The post Nenek berusia 80 tahun pandu lawan arus di Lebuhraya DASH – salah jalan dan cari susur keluar appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















