Tahun ini merupakan tahun keenam Honda City GN2/GN6 berada dalam pasaran, dan kalau ikut kebiasaan ia sudah hampir untuk ditamatkan produksi. Namun nampaknya Honda memilih untuk memanjangkan lagi hayat produksi model ini bagi sekurang-kurangnya lagi tiga tahun dengan memperkenalkan model facelift baharu dengan rombakan muka yang besar.
Model facelift tersebut dikhabarkan bakal membuat kemunculan sulungnya di India pada 22 Mei ini, namun sebelum ia didedahkan oleh Honda, beberapa foto intipan sudahpun bocor di internet. Gambar yang anda lihat ini adalah dari wartawan Financial Times, Akhbar Merchant di mana beliau memuatnaiknya di laman sosial X.
Versi facelift kali kedua ini menampilkan muka yang langsung tidak sama seperti versi facelift sedia ada yang juga membuat kemunculan sulungnya di India pada 2023. Versi kali ini kelihatan lebih sporty dan tajam dengan lampu hadapan direka lebih nipis, nampak seperti bersepadu dengan gril hadapan yang lebar sehingga ke bahagian bawah lampu tersebut.
Gril berkenaan menampilkan elemen sarang lebah seakan diinspirasikan dari gril Honda Civic Type R FL5, manakala logo ‘H’ pula diletakkan lebih tinggi daripada gril dengan gaya seperti Prelude generasi baharu. Juga nampaknya ada satu jalur lampu yang menghubungkan lampu hadapan sebelah kiri dan kanan diberikan.
Bampar hadapan juga langsung tidak sama dengan model sedia ada di mana ia diberikan kemasan tirai udara sisi berbentuk segi tiga. Juga kelihatan rekaan rim aloi baharu berbentuk turbin pada model facelift terkini ini.
Tiada gambar sebelah belakang ditunjukkan. Tetapi menerusi satu gambar intipan dari Brazil memaparkan City facelift ini yang sedang diuji dengan masih menggunakan pelekat penyamaran, ia masih menggunakan lampu belakang yang sama seperti model sedia ada, dan mungkin hanya diberikan rekaan bampar belakang yang sedikit berbeza.
Dijangkakan Honda City facelift 2027 ini masih digerakkan oleh unit rangkaian kuasa sama. Di Malaysia City menerima pilihan enjin petrol penuh 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS/145 Nm bersama kotak gear CVT automatik dan juga unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV menampilkan enjin 1.5L kitaran Atkinson berkuasa 98/127 Nm bersama motor elektrik berkuasa 109 PS/253 Nm.
Model facelift sedia ada di Malaysia juga sudah berada dalam pasaran hampir tiga tahun. Mungkin City facelift 2027 ini juga termasuk dalam enam model yang akan dilancarkan oleh Honda Malaysia tahun ini?
The post Imej Honda City facelift 2027 terdedah di internet – bakal buat kemunculan sulung rasmi di India 22 Mei ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















