Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan kempen panggilan balik (product recall) bagi dua model motosikal berkuasa tinggi keluaran Boon Siew Honda Sdn. Bhd. Menurut JPJ, untuk kali ini, pihaknya menyenaraikan model CMX500A keluaran tahun 2023-2025, melibatkan 160 unit, disebabkan masalah skru pengunci pemegang longgar.
Model kedua dari jenama yang sama yang dipanggil balik ialah CBR650RAC keluaran tahun 2024-2025 yang membabitkan 270 unit, dikatakan berisiko mengalami litar pintas pada bahagian pendawaian.
“Aktiviti pemanggilan semula tersebut akan dilaksanakan bermula 25 Mei 2026 melibatkan model yang dikenal pasti terjejas bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan terhadap komponen berkaitan.

“Semua pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing. Pemilik kenderaan juga turut dibenarkan hadir secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Menurut JPJ lagi, Sebarang komponen yang dikenal pasti terlibat akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh Boon Siew Honda Sdn. Bhd.
“Oleh yang demikian, semua pemilik kenderaan model yang terlibat adalah dimohon untuk membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dan pemeriksaan kenderaan dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya lagi.
Maklumat lanjut berkenaan proses pemanggilan semula ini, pemilik kenderaan boleh ke mana-mana pusat jualan/perkhidmatan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. yang berdekatan atau menghubungi talian 04-506 3333 atau 03-6144 0963, e-mel [email protected] dan layari laman web rasmi syarikat berkenaan.
The post JPJ siar kempen panggil balik membabitkan motosikal Honda CMX500A dan CBR650RAC – 430 unit terlibat appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















