Lotus mengumumkan strategi perniagaan barunya yang dikenali sebagai Focus 2030, menyaksikan pengeluar kereta sport itu mengubah haluan daripada memberi tumpuan sepenuhnya kepada kenderaan elektrik (EV) kepada pendekatan pelbagai trenkuasa. Langkah tersebut dimulakan dengan pengenalan Lotus Eletre X Hybrid, iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) bagi SUV elektrik penuh Eletre.
Menurut Lotus, strategi baru ini diperkenalkan bagi menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran global serta permintaan pengguna yang semakin berkembang, terutama apabila penerimaan EV didapati semakin perlahan di beberapa pasaran utama dunia. Melalui pendekatan baru ini, portfolio model Lotus akan merangkumi enjin pembakaran dalaman (ICE), plug-in hybrid dan juga EV penuh.
Syarikat itu menjelaskan bahawa gabungan model elektrifikasi pada masa hadapan didominasi oleh PHEV dengan anggaran sekitar 60%, manakala baki 40% terdiri daripada EV penuh. Ini menunjukkan Lotus kini mengambil pendekatan lebih fleksibel berbanding pelan elektrifikasi sepenuhnya yang diumumkan sebelum ini.
Lotus turut mengesahkan model-model sedia ada akan terus dikekalkan dalam barisan produknya. Antaranya termasuk Emira yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman dan bakal menerima kemas kini dalam beberapa minggu akan datang dengan peningkatan kuasa serta pengurangan berat badan bagi menawarkan prestasi lebih baik.
Bagi model elektrik penuh pula, Lotus akan terus menawarkan Eletre, Emeya dan Evija. Sementara itu, segmen plug-in hybrid ketika ini diisi oleh Eletre X Hybrid yang baru saja diperkenalkan.
Dalam masa sama, Lotus turut memaklumkan teknologi hibrid syarikat itu akan terus dibangunkan untuk digunakan pada sebuah supercar baru yang masih menggunakan kod pembangunan Type 135. Model tersebut dijangka membuat penampilan pertama pada tahun 2028 dan akan menggunakan penggerak hibrid V8 dengan kuasa melebihi 1,000 PS. Lotus turut mengesahkan model berprestasi tinggi itu akan dikeluarkan di Eropah.
Walaupun butiran lanjut mengenai Type 135 hanya akan diumumkan penghujung tahun ini, nama sebenar model tersebut dipercayai telah terbongkar lebih awal secara tidak sengaja oleh Lotus sendiri. Beberapa media antarabangsa mendapati salah satu fail media yang disertakan dalam pengumuman rasmi syarikat itu menggunakan nama “Esprit”, sekaligus menguatkan kemungkinan nama ikonik itu akan dihidupkan semula untuk model baru berkenaan.
The post Lotus dedah strategi Focus 2030 – barisan ICE, EV dan PHEV; Type 135 baru guna nama Esprit, enjin V8 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
























