Menurut laporan Cars.co.za, pengedar Proton di Afrika Selatan iaitu Combined Motor Holdings (CMH) Group telah mengesahkan akan menghentikan operasi pengedaran jenama itu tidak lama lagi dalam laporan tahunannya.

“Produk-produk ini telah terbukti berkualiti baik, dengan kadar tuntutan jaminan yang rendah, tetapi harga import tidak kompetitif. Kumpulan [CMH] akan terus menyokong pelanggan [Proton] dengan kemudahan bengkel dan alat ganti melalui outlet runcitnya sehingga operasi Geely tempatan bersedia untuk mengambil alih,” tulis Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CMH, Jebb McIntosh dalam laporan tahunan bersepadu syarikat 2026 (untuk tahun berakhir 28 Februari 2026), dan menambah bahawa “operasi import/pengedaran Proton akan tamat apabila baki inventori habis dijual”.

Ditanya sama ada terdapat rancangan untuk mengambil alih pengedaran Proton di negara ini, Geely Auto South Africa memberitahu Cars.co.za: “Kami menyedari spekulasi pasaran mengenai pengurusan pengedaran masa depan Proton di Afrika Selatan. Perbincangan sedang dijalankan, namun tiada keputusan atau pengumuman rasmi telah dimuktamadkan pada peringkat ini. Oleh itu, adalah terlalu awal untuk kami memberi komen lanjut pada masa ini.”

Ia menambah bahawa sebarang “maklumat yang disahkan” akan “disampaikan melalui saluran formal yang sesuai”. Geely kembali ke Afrika Selatan pada akhir 2025 dengan E5 (Proton eMas 7) sebelum melancarkan E2 (Proton eMas 5) pada April tahun ini.

Berita berkenaan Proton mulai goyah di pasaran Afrika Selatan ini telah mula kedengaran sejak Mei tahun lalu. Menurut Cars.co.za, Proton hanya menjual 640 unit di Afrika Selatan pada separuh kedua tahun 2023, 888 pada tahun 2024, 459 pada tahun 2025, 20 pada suku pertama tahun 2026 dan hanya tujuh pada bulan April lalu, berdasarkan data yang dilaporkan kepada Persatuan Pengilang Automobil Nasional Afrika Selatan (NAAMSA). Afrika Selatan pernah menjadi pasaran eksport kedua terbesar Proton.

Proton dilancarkan semula ke pasaran Afrika Selatan secara rasmi pada 2022 selepas ia tidak lagi mengeksport kenderaan ke negara tersebut sejak 2012. Empat model dijual dipasaran tersebut iaitu Saga, X50, X70 serta X90, dan sehingga tahun lalu Proton mempunyai 17 pengedar bertauliah di Afrika Selatan, namun hanya tinggal 10 yang beroperasi tahun ini.

The post CMH Group dilapor akan tamatkan pengedaran Proton di Afrika Selatan – adakah Geely akan ambil alih? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts