Selepas pendaftaran minatnya dibuka bulan lalu, Denza Malaysia kini mengumumkan bahawa SUV mewah Denza B8 sah akan dilancarkan pada 21 Mei ini, dan kemudian ia akan dipamerkan di Bangsar Shopping Centre dari 22 hingga 24 Mei.
Di China, Denza B8 ini dijual dengan lencana Fangchengbao dan dikenali sebagai Bao 8. Ia adalah SUV lasak sebenar yang dibina berasaskan casis ladder frame dan dilengkapi sistem 4X4 serta digerakkan dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) berkuasa tinggi Dual-Mode Off-road (DMO).
Unit rangkaian kuasa tersebut menampilkan dua motor elektrik, iaitu satu untuk memacu roda hadapan berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork 360 Nm, dan satu lagi memacu roda belakang berkuasa 408 PS (300 kW) dan tork 400 Nm. Ia turut dibekalkan dengan enjin khas hibrid 2.0 liter empat silinder petrol turbo berkuasa 197 PS (145 kW) dan tork maksima 350 Nm.
Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa PHEV DMO ini menghasilkan kuasa 578 PS (425 kW) tork maksima 760 Nm, membolehkan SUV gergasi dengan panjang 5,195 mm dan berat 3,290 kg ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 4.8 saat.
Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP Blade 36.8 kWj yang membolehkan ia bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 100 km berdasarkan kitaran ujian WLTP. Dan dengan tangki petrol gergasi 91 liter SUV ini didakwa boleh bergerak sejauh 905 km.
Seperti EV sebenar, bateri SUV PHEV ini mampu menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, dan pengecas AC biasa sehingga 11 kW. Ia juga boleh bertindak seperti power bank gergasi dengan fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti 6.6 kW.
Di China, pelanggan boleh membeli Denza D8 ini dengan pengunci differential pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan cengkaman pada laluan off-road yang lebih baik. Ia juga datang dengan sistem suspensi hidraulik BYD DiSus yang membolehkan ketinggiannya dianjak 140 mm. Ini membolehkan ia meredah air pada kedalaman sehingga 890 mm berbanding 800 mm pada keadaan standard, serta menaikkan sudut approach dan berlepas masing-masing sehingga 34 dan 35 darjah.
Menurut Denza, muka B8 ini direka dengan inspirasi dari robot-robot mecha anime Jepun, dan ia digandingkan dengan lampu hadapan LED “Starship Wing”. Badannya pula dikelilingi dengan panel-panel pelindung badan dalam kemasan hitam berkilat, manakala di belakang ia diberikan lampu LED dengan rekaan “Energy Thruster”.
Bagi Denza B8 pasaran global, ia diberikan rim aloi 20-inci jejari-Y berwarna hitam yang sedikit kecil berbanding Fangchengbao B8 di China yang diberikan set rim berdiameter 21-inci.
Pada bahagian dalaman pula Denza B8 ini menerima upholsteri sama ada Jasper Brown atau Onyx Black. Papan pemukanya walaupun direka bersegi bagi memberikan imej lasak, tetapi ia masuh diberikan skrin-skrin gergasi seperti lazimnya model-model dari China yang lain.
Pemandu menerima skrin gergasi 12.3-inci untuk paparan instrumen digital, serta dibantu lagi dengan paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan. Manakala pada konsol tengah skrin lebih besar bersaiz 17.3-inci diberikan untuk sistem infotainmen. Di China, Fangchengbao B8 turut diberikan satu lagi skrin 12.3-inci pada papan pemuka khas untuk penumpang hadapan.
Manakala pada konsol terowong, ia diberikan tombol gear yang dinaikkan selepas enjin dihidupkan, dan juga pelbagai suis fizikal seakan kristal untuk kawalan pelbagai fungsi unit rangkaian kuasanya. Perincian lain yang turut diberikan termasuk pengecas tanpa wayar Qi berkembar 50 watt, ruang storan pada perehat tangan dengan fungsi penyejuk dan pemanas, tempat duduk hadapan kawalan kuasa dengan fungsi pemanas, penaglir udara dan pengurut, serta sistem bunyi Devialet dengan 18-pembesar suara yang diberikan secara standard.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, B8 bakal ditawarkan dalam varian standard dan Premium. Jadi ia mungkin merujuk kepada varian dengan tujuh-tempat duduk dan juga enam-tempat duduk yang lebih mewah di mana ia diberikan tempat duduk kapten pada baris kedua yang memberikan fungsi ottoman dan pengurut, dan juga upholsteri kulit Nappa.
Manakala varian tujuh-tempat duduk menerima kerusi baris kedua dengan fungsi larasan kuasa, pemanas dan pengalir udara. Ia turut diberikan suis pelbagai fungsi pada pintu belakang bagi membolehkan penumpang membuka atau menutup cermin tingkap bertentangan dan juga pelindung matahari pada bumbung suria, serta terdapat butang satu sentuhan untuk membaringkan atau menolak tempat duduk baris kedua ke hadapan bagi memberikan ruang kaki lebih luas.
But belakang SUV ini cuma menawarkan ruang kargo sebesar 147 liter. Namun tempat duduk baris kedua dan ketiganya boleh dilipat dengan mudah dengan bantuan kuasa, memberikan ruang sehingga 920 liter (902 liter untuk model enam-tempat duduk).
Tiada fungsi pintu tailgate bantuan kuasa kerana ia dibuka dari sisi seperti pintu biasa, tetapi datang dengan fungsi larasan ketinggian dari but belakang yang membolehkan anda merendahkan bahagian belakang, bagi membantu untuk memasukkan barang yang berat atau besar pada bahagian tersebut.
Denza Malaysia masih belum memberikan sebarang petunjuk berkenaan harga. Namun kami jangkakan SUV ini tidak murah dan mungkin boleh mencecah RM300k, dan tidak mustahil ia akan dijual lebih mahal dari GWM Tank 500 yang dijual pada harga RM328,800.
The post Denza B8 akan dilancarkan di Malaysia 21 Mei ini – PHEV 4×4, 578 PS/760 Nm, 0-100 km/j 4.8 saat! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.































