Program MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) Tahun 2026 bakal menaja seramai 60,000 pelajar Tingkatan 4 dan 5 daripada golongan B40 di seluruh negara untuk memperoleh lesen motosikal secara percuma dengan peruntukan melebihi RM18.5 juta tahun ini, laporan Harian Metro.
Program kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan (MOT), melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan (KPM), ini juga sebagai langkah proaktif Kerajaan memperkukuh keselamatan jalan raya dan meningkatkan pematuhan undang-undang dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, program itu diperkenalkan susulan kebimbangan terhadap jumlah pelajar yang menunggang motosikal ke sekolah tanpa memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang sah. Di mana keadaan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan keselamatan pelajar kerana menunggang tanpa pengetahuan dan kemahiran yang betul.
“Program ini dilaksanakan susulan keprihatinan kerajaan terhadap isu penunggang motosikal dalam kalangan pelajar yang masih tidak memiliki lesen memandu sah, khususnya di kawasan luar bandar. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyediaan akses pelesenan yang sah di samping meningkatkan tahap kompetensi, kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan generasi muda,” katanya selepas melancarkan program ini di AICC Johor Bahru, semalam.
Tambahnya, mengikut statistik lebih 6,000 kemalangan maut dilaporkan setiap tahun iaitu 65% membabitkan golongan penunggang dan pembonceng motosikal. Katanya, kebanyakan daripada kemalangan maut ini membabitkan purata umur antara 16 hingga 25 tahun termasuklah pelajar sekolah.
The post Program MyLesen B2 Sekolah 2026 bakal disertai 60,000 pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari golongan B40 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.




















