Sempena dengan Hari Raya Aidiladha serta musim cuti persekolahan yang akan tiba hujung bulan ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan sebanyak 186 tren tambahan melibatkan perkhidmatan ETS dan EMUPlus bagi tempoh 22 Mei hingga 7 Jun 2026, dalam usaha menampung peningkatan permintaan penumpang.
Menurut KTMB, penyediaan tren tambahan ini melibatkan kapasiti keseluruhan sebanyak 58,380 tempat duduk bagi menampung peningkatan permintaan penumpang sepanjang tempoh sambutan perayaan dan cuti persekolahan.
Antara laluan perkhidmatan yang disediakan adalah KL Sentral – Ipoh – KL Sentral, KL Sentral – Butterworth – KL Sentral, KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral, KL Sentral – JB Sentral – KL Sentral dan Klang – Ipoh – Klang (EMU Plus).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, KTMB menerima maklum balas yang amat positif daripada orang ramai terhadap perkhidmatan tren tambahan yang disediakan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, khususnya melibatkan laluan berpermintaan tinggi seperti sektor Johor Bahru.
Tambahnya, inisiatif Kerajaan menerusi kempen ‘Road to Rail’ turut menunjukkan impak yang memberangsangkan dalam menggalakkan rakyat beralih kepada penggunaan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan kereta api yang lebih selamat, selesa dan efisien. “Peningkatan permintaan ini mencerminkan keyakinan penumpang yang semakin tinggi terhadap mutu perkhidmatan rel negara,”katanya.
Tiket bagi perkhidmatan tren tambahan ini sudah mula dijual sejak Sabtu lalu (9 Mei 2026). Orang ramai boleh mendapatkan tiket melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB serta kiosk tiket KTMB di stesen-stesen terpilih.
The post KTMB sediakan 186 tren tambahan ETS, EMUPlus sempena Aidiladha – 22 Mei-7 Jun, 58,380 tiket appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















