Volkswagen Golf GTI Edition 50 kini diiktiraf sebagai model produksi pacuan hadapan terpantas di litar Nürburgring Nordschleife, memadamkan rekod lama yang dipegang oleh Honda Civic Type R FL5 yang dipertahankan selama tiga tahun.
Golf GTI Edition 50 ini dipandu oleh pemandu ujian dan pembangunan Volkswagen, Benjamin Leuchter di mana beliau menghabiskan satu lap litar ‘The Green Hell’ sejauh 20.832 km itu dengan masa 7:44.523. Catatan tersebut cukup untuk mengatasi rekod 7 minit 44.881 yang dibuat oleh Civic Type R pada 2023 dengan kelebihan tidak sampai 1 saat.
“Nordschleife unik dengan selekoh, bahagian-bahagian yang sangat berbeza, bonggol dan juga lompatannya,” kata Leuchter. “Dan perkara yang sama juga berlaku untuk GTI ini: dengan kuasa yang mengagumkan, talaan yang sangat neutral dan pada masa yang sama keupayaan untuk menghadapi sebarang bonggol dengan tenang. Oleh itu, Golf GTI Edition 50 lebih daripada sekadar model ulang tahun: ia menunjukkan prestasi dalam segmen kompak apabila kepakaran teknikal, semangat dan sejarah GTI selama 50 tahun disatukan,” tambahnya.
Golf GTI EDITION 50 is the fastest front-wheel drive production model on the Nürburgring Nordschleife and sets its new record in the ‘Green Hell’ (here in the optionally available colour Dark Moss Green metallic).
Volkswagen Golf GTI Edition 50 ini diperkenalkan pada tahun lalu, dan ia merupakan model edisi khas yang dibangunkan sempena 50 tahun Golf dalam pasaran pada tahun ini. Namun jangan keliru dengan Volkswagen Golf Edition 50 CKD yang dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2024, kerana Edition 50 yang dihasilkan di Jerman ini diasaskan dari versi facelift iaitu Golf Mk8.5 dan ia merupakan Golf GTI produksi paling berkuasa pernah dihasilkan sehingga kini.
Untuk model istimewa ini, Volkswagen telah menyumbat enjin 2.0 liter empat-silinder Turbo EA888 evo4 yang sama seperti pada Golf GTI Clubsport, kemudian ditala bagi menghasilkan lebih kuasa iaitu 325 PS dan tork maksima 420 Nm. Ini bermakna Golf GTI Edition 50 ini adalah 25 PS/20 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI Clubsport dan 60 PS/50 Nm lebih berkuasa dari Golf GTI biasa.
Selari dengan peningkatan kuasa, suspensi GTI 50 Edition ini turut ditala semula. Secara standard suspensi model istimewa ini adalah 15 mm lebih rendah dari versi biasa, dan sekiranya pembeli memilih untuk memadankan pakej GTI Performance, ia akan menberikan suspensi tersebut tambahan 5 mm lebih rendah dengan spring lebih keras, membolehkan frekuensi asli pada gandar hadapan dan belakang naik sekitar 20%.
Menurut Volkswagen talaan semula yang dibuat ini memberikan karekteristik sokongan yang lebih baik, respon yang lebih terus dan juga mengurangkan gerakan olengan dan olah gerak. Pakej tersebut turut datang sekali pengadaptasi cagak suspensi, rim aloi forged ‘Warmenau’ 19-inci dan juga tayar jenis semi slick Bridgestone Potenza Race bersaiz 235/35R19.
Volkswagen juga mendakwa bahawa setiap roda berkenaan ditimbang dengan berat 8 kg, atau 3 kg lebih ringan dari rim 19-inci standard. Manakala untuk tayar Volkswagen menyatakan bahawa ia bekerjasana rapat dengan Bridgestone bagi memastikan tayar Potenza Race berkenaan memberikan lebih cengkaman tetapi kurang rintangan golekan.
Bagi mengurankan lagi berat kereta ini, Volkswagen turut menawarkan set ekzos titanium dari Akrapovic, membolehkan beratnya dikurangkan lagi sebanyak 11 kg.
Adakah rekod yang dibuat VW ini akan kekal kerana Civic Type R FL5 merupakan generasi terakhir yang dipacu oleh enjin pembakaran dalaman sepenuhnya? Honda mungkin sedang mengambil berat tentang perkara ini kerana FL5 sebenarnya bakal dilancarkan dalam versi lebih hardcore yang dibangunakan oleh sayap perlumbaan Honda iaitu HRC. Versi konsep model tersebut telah pun didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2026 awal tahun ini, digelar sebagai Honda Civic Type R HRC Concept.
The post Volkswagen Golf GTI Edition 50 padam rekod Honda Civic Type R di Nürburgring; beza tak sampai 1 saat! appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

















