Rakyat Malaysia yang memegang lesen memandu asing tanpa sebarang sekatan akan dibenarkan untuk memohon penukaran kepada lesen memandu tempatan mulai 1 Jun 2026, lapor Bernama.

Kementerian Pengangkutan memaklumkan, permohonan penukaran lesen tersebut boleh dibuat di semua pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara. “Langkah ini selaras dengan perkembangan semasa dan bertujuan untuk memastikan mobiliti rakyat Malaysia yang bekerja, menetap atau menguruskan hal ehwal di luar negara tidak terganggu,” kata kementerian itu.

Di bawah dasar semasa, penukaran lesen asing hanya terhad kepada rakyat Malaysia yang memperoleh lesen asing mereka sebelum lesen Malaysia, peserta program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), dan ahli kor diplomatik.

Warga Malaysia dengan lesen memandu asing boleh mohon penukaran kepada lesen lokal bermula 1 Jun

Pada Mei tahun lalu, JPJ telah menghentikan penukaran lesen asing kepada lesen Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya, memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.

Prosedur yang dipertingkatkan ini bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada sambil mengekalkan piawaian pemanduan dalam kalangan pemohon, jelas laporan tersebut lagi.

“Ia juga bertujuan untuk memudahkan permohonan penukaran lesen memandu asing kepada lesen Malaysia dengan mengambil kira keperluan semasa dan mobiliti rakyat Malaysia, terutamanya di tengah-tengah persekitaran ekonomi global dan domestik yang mencabar ketika ini,” jelas kementerian terbabit. Maklumat mengenai keperluan permohonan, prosedur dan yuran akan tersedia di laman web JPJ mulai 1 Jun, katanya.

The post Warga Malaysia dengan lesen memandu asing boleh mohon penukaran kepada lesen lokal bermula 1 Jun appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts