Proton hari ini memgumumkan bahawa jualan bagi Proton Saga MC3 untuk bulan April kembali meningkat dengan mencapai 8,207 unit. Jumlah ini adalah 50.9% lebih banyak dari jualan yang dicatatkan pada Mac, dan ia menjadikan jualan kumulatif tahunan (YTD) Saga untuk empat bulan pertama tahun ini sebanyak 29,977 unit, meningkat 42.8% berbanding tempoh sama tahun 2025.
Saga MC3 mencatatkan jualan luar biasa pada Januari lalu iaitu 10,285 unit untuk menjadi model terlaris di Malaysia, kemudian jatuh kepada hanya 6,047 unit pada Februari dan 5,438 unit pada Mac. Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, jumlah jualan yang rendah bagi dua bulan tersebut adalah kerana terdapat isu bekalan yang menjejaskan produksi model berkenaan.
Isu tersebut telah menyebabkan jualan Saga kembali jatuh ke kedudukan kedua (YTD) pada bulan lalu, dipintas oleh Perodua Bezza yang secara konsisten terjual lebih 7,000 unit sebulan. Mungkin bulan ini Saga akan naik semula ke tangga pertama?
Apa pun jumlah jualan Saga yang meningkat pada bulan lalu kembali memberikan impak kepada jualan keseluruhan Proton. Ini kerana Saga kekal model Proton paling laris jenama itu dan ia antara sebab utama yang membolehkan Proton mencapai jualan 18,156 unit sepanjang April 2025, hampir menyamai rekod 19,833 unit yang dicatatkan pada Januari lalu.
The post Proton Saga MC3 terjual 8,207 unit untuk April; naik 50.9% berbanding Mac, YTD kini 29,977 unit naik 42.8% appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















