Anda mungkin masih ingat ketika mula-mula Chery bertapak di Malaysia menerusi pengedar tempatan iaitu Alado dahulu, antara model yang dibawa adalah hatchback kompak Chery QQ yang dilancarkan di sini pada 2006. Tahun lalu Chery ada mendedahkan model konsep QQ Qurio ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025, bagi menandakan kelahiran semula siri kereta comel tersebut, dan tahun ini ketika berlangsungnya Auto China 2026 di Beijing versi produksi yang digelar sebagai Chery QQ3 telahpun dipamerkan.
Sebenarnya model ini telah dilancarkan di China lebih awal, dan ia sudahpun didedahkan untuk pasaran ASEAN buat pertama kali di Bangkok International Motor Show (BIMS) bulan lalu dikenali sebagai Chery Q di sana. Dan apa yang menarik, model ini turut telah disahkan oleh Chery Malaysia untuk dilancarkan ke pasaran tempatan pada awal tahun 2027 nanti.
Chery QQ3 ini dihasilkan menggunakan asas platform T12 Chery dengan dimensi panjang 4,195 mm, lebar 1,811 mm, tinggi 1,573 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Ketika dilancarkan di sini kelak ia tentunya akan berhadapan terus dengan Proton eMas 5, namun QQ3 mempunyai kelebihan 60 mm lebih panjang, 5 mm lebih lebar dan jarak roda 50 mm lebih jauh berbanding eMas 5.
Ia digerakkan dengan hanya satu motor elektrik yang memacu roda belakang, namun tampil dalam dua pilihan konfigurasi. Untuk versi asas, motor elektrik yang dibekalkan mampu menghasilkan 79 PS dan tork maksima 90 Nm, menerima kuasa elektrik dari bari bateri LFP 29.48 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 310 km dalam kitaran ujian CLTC, atau 250 km dalam kitaran ujian WLTP yang lebih ketat.
Manakala untuk varian lebih tinggi, ia menerima motor elektrik berkuasa 122 PS dan tork maksima 115 Nm yang digerakkan oleh bateri berkapasiti 41,28 kWj. Gandingan ini membolehkan ia bergerak sejauh 420 km CLTC atau 340 km WLTP. Untuk menegcas pula QQ3 mampu menyokong pengecas pantas DC sehingga 85 kW, yang memerlukan masa 16.5 minit bagi memenuhkan cas bateri dari 30% hingga 80%.
Antara perincian yang diberikan pada EV kompak ini termasuk lampu LED hadapan dan belakang, paparan instrumen digital dengam skrin 8.8-inci, skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi pemanas dan pengalir udara, pad pengecas tanpa wayar Qi 50 watt dan juga pintu tailgate belakang bantuan kuasa.
Untuk praktikaliti, hatchback ini menyediakan ruang kargo belakang berkapasiti 375 liter yang boleh dibesarkan sehingga 1,450 liter sekiranya tempat duduk belakang dilipat, ruang storan bawah tempat duduk belakang berkapsiti 35 liter, dan juga ruang storan but depan atau frunk dengan kapasiti 70 liter.
Manakala bagi keselamatan pula, QQ diberikan enam-beg udara, kamera 360-darjah, bantuan parkir, serta pakej bantuan pemanduan yang terdiri dari fungsi brek kecemasan automatik hadapan, cruise control adaptif, bantuan kekal tengah lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pergerakan kenderaan hadapan, amaran buka pintu dan bantuan lampu tinggi.
Chery QQ3 ini turut dirancang untuk dipasang secara tempatan di Malaysia (CKD) bagi memastikan harga jualannya kelak kompetitif bagi bersaing dengan model-model sekelasnya.
The post Chery QQ3 EV di Beijing – siri kompak comel akan kembali ke Malaysia pada 2027, cabar Proton eMas 5 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























