Selepas muncul hujung Mac lalu di BIMS 2026, GWM Ora 5 HEV sekali lagi dipamerkan di Auto China 2026 di Beijing yang mula berlangsung hari ini. Lebih menarik, model ini juga disahkan sudah berada dalam perancangan GWM Malaysia untuk di masuk sebagai model baru jenama itu yang akan diperkenalkan di pasaran Malaysia.
Ora 5 mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,471 mm panjang, 1,833 mm lebar dan 1,641 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm. Lebar trek roda hadapan dan belakang masing-masing ialah 1,583 mm dan 1,577 mm, manakala kelegaan tanah bagi crossover lima-tempat duduk ini ialah setinggi 175 mm.
Model hibrid ini dilengkapi dengan enjin petrol 1.5 liter turbo empat-silinder yang menghasilkan 150 PS pada julat 5,500 hingga 6,000 rpm serta tork 240 Nm antara 1,800 rpm hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan pula dengan motor elektrik jenis magnet kekal yang menjana 190 PS dan 236 Nm, dengan tenaga disimpan dalam bateri lithium-ion berkapasiti 1.03 kWh.

Gabungan sistem hibrid ini menyediakan sebanyak 223 PS dan tork 476 Nm. Kapasiti tangki bahan api pula ialah 55 liter. Berdasarkan laporan Autolife Thailand, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 180 km/j, serta mencatatkan penggunaan bahan api sekitar 23.3 km/l (atau 4.5 liter per 100 km) dan mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 1,100 km.
Untuk aspek casis, Ora 5 HEV menggunakan suspensi jenis MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, sama seperti versi EV. Sistem stereng kuasa elektrik turut digunakan, manakala brek terdiri daripada cakera berliang di hadapan dan cakera penuh untuk belakang. Model ini dipadankan dengan rim aloi 18-inci bersama tayar saiz 225/60R18.
Untuk kelengkapan luaran, model ini dilengkapi lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, spoiler belakang dengan lampu brek di kedudukan tinggi, pintu but manual, pengelap cermin hadapan dengan sensor hujan, cermin sisi larasan kuasa serta rel bumbung.

Untuk bahagian dalam kabin, Ora 5 HEV hadir dengan paparan instrumen digital 10.25-inci dan skrin infotainmen 14.6-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar. Sistem ini turut menawarkan sambungan Bluetooth, navigasi pintar, fungsi kawalan suara, fungsi telematik, kawalan kenderaan melalui aplikasi mudah alih serta kemas kini perisian secara over-the-air.
Sistem audio standard menggunakan enam-pembesar suara, manakala varian Ultra dinaik taraf kepada sembilan pembesar suara dengan kawalan volum sensitif kelajuan. Dari segi sambungan peranti, terdapat pengecas tanpa wayar 50 watt, satu port USB-A dan satu USB-C di bahagian hadapan serta satu lagi USB-C untuk penumpang belakang.
Tempat duduk pemandu dilengkapi pelarasan kuasa enam-arah untuk semua varian, manakala varian Ultra menambah fungsi pengudaraan dan memori tiga tetapan. Tempat duduk penumpang hadapan bagi varian Pro menggunakan pelarasan manual empat arah, sementara varian Ultra menawarkan pelarasan kuasa serta fungsi pengudaraan.

Keseluruhan kabin menggunakan kemasan kulit buatan, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat dalam nisbah 60:40, disertakan perehat kepala tengah dan stereng pelbagai fungsi yang boleh dilaras dari segi jangkauan dan kecondongan.
Di Thailand tempoh hari, harga yang dikenakan untuk Ora 5 Hybrid ini bermula 729,000 baht (RM88,543). Berapa agaknya harga anggaran untuk pasaran Malaysia nanti?
GWM Ora 5 HEV di BIMS 2026
The post GWM Ora 5 HEV di Beijing — hibrid 1.5T 223 PS/476 Nm dengan jarak 1,100 km bakal masuk Malaysia appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





























































