Beijing menjadi tumpuan dunia automotif apabila Auto China 2026 membuka tirainya, dan antara model paling menarik perhatian ialah prototaip robotaxi terbaru daripada Geely yang dikenali sebagai Eva Cab. Kenderaan ini didakwa sebagai robotaxi pertama di China yang dibangunkan sepenuhnya dari awal khusus untuk operasi tanpa pemandu secara komersial, berbeza dengan kebanyakan model lain yang diubah suai daripada kereta produksi sedia ada.
Eva Cab menonjol dari sudut teknologi apabila dilengkapi kecerdasan buatan (AI) menyeluruh yang menggerakkan platform pemanduan pintar G-ASD 4.0. Sistem ini dibangunkan bersama rakan teknologi Afari dan membolehkan kenderaan mencapai tahap autonomous Tahap 4, iaitu mampu beroperasi tanpa campur tangan manusia dalam kebanyakan situasi.
Sebelum ini, operasi percubaan robotaxi telah dijalankan selama lebih setahun di beberapa bandar utama China seperti Hangzhou dan Suzhou melalui kerjasama dengan anak syarikat mobiliti Geely, CaoCao Mobility. Versi khas Eva Cab yang disesuaikan untuk perkhidmatan CaoCao Mobility dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang tahun 2027.
Dari segi keupayaan pemprosesan, Geely mendakwa Eva Cab dilengkapi platform pengkomputeran dalam kenderaan paling berkuasa dalam industri ketika ini. Ia menggabungkan cip berprestasi tinggi seperti NVIDIA SuperChip, NVIDIA Thor U dan Qualcomm Snapdragon 8397, yang secara keseluruhan mampu menjana lebih 3,000 TOPS kuasa pemprosesan.
Selain itu, model ini turut menampilkan seni bina elektronik dan elektrik berasaskan AI yang digelar sebagai “Quantum-Level”, bersama sistem LiDAR digital 2,160 garis pertama di dunia. Perisian bantuan pemanduan Tahap 4 yang sedia untuk pengeluaran besar-besaran juga menjadi antara kelebihan utama, sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara kenderaan paling pintar yang pernah dibangunkan.
Reka bentuk dalaman Eva Cab turut mencerminkan konsep futuristik dengan pintu lungsur elektrik, susun atur kabin berhadapan, siling “Galaxy Skyroof”, panel pintu “Drifting Galaxy” serta perehat tangan berinspirasikan elemen seni klasik China. Keseluruhannya, Eva Cab bukan sahaja mempamerkan kemajuan teknologi, malah menonjolkan identiti reka bentuk unik yang sinonim dengan pengeluar dari negara tersebut.
The post Geely Eva Cab muncul di Beijing – prototaip robotaxi buatan khas pertama China, autonomous Tahap 4 appeared first on Paul Tan’s Automotive News.





















