Foton Tunland V7

Model pikap baru daripada Foton, iaitu siri Tunland V, bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi menerusi dua varian, Tunland V7 dan Tunland V9. Kedua-dua model ini dijangka dilancarkan bulan hadapan dan menarik perhatian kerana didakwa sebagai pikap diesel turbo hibrid pertama yang diperkenalkan di negara ini.

Nama Tunland sebenarnya bukan asing, kerana ia pernah digunakan pada model pikap yang diperkenalkan sekitar tahun 2012 sebelum dibawa masuk ke Malaysia pada 2013 dengan nama Bison Savanna.

Di Malaysia, Handal BCM bertindak sebagai pengimport dan pemasang eksklusif kenderaan Foton. Syarikat itu telah menerima kelulusan untuk membawa masuk serta memasang dalam negara (CKD) model Tunland V7 dan V9. Untuk permulaan, unit yang ditawarkan adalah model import sepenuhnya (CBU) yang dijangka tiba sekitar pertengahan Mei, manakala pemasangan tempatan dijadualkan bermula pada suku keempat 2026 di Johor.

Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

Foton Tunland V7

Dari segi harga, Tunland V7 dianggarkan bermula sekitar RM128,888 manakala Tunland V9 pula sekitar RM148,888. Kedua-duanya ditawarkan dengan jaminan selama tujuh tahun atau sehingga 200,000 kilometer. Kuasa dijana oleh enjin 2.0 liter diesel turbo dengan sistem hibrid ringkas, digandingkan bersama transmisi automatik lapan kelajuan daripada ZF Friedrichshafen. Enam mod pemanduan turut disediakan untuk kesesuaian pelbagai keadaan jalan.

Penggunaan bahan api dianggarkan antara 8.0 hingga 10.0 liter bagi setiap 100 kilometer, dengan jarak perjalanan sehingga 950 kilometer bagi setiap tangki penuh. Kedua-dua model juga mampu menunda beban sehingga 3.5 tan dan membawa muatan sehingga satu tan. Ruang kargo pula dikatakan antara yang terbesar dalam dilapisi semburan cat tahan lasak.

Dari sudut kejuruteraan casis, Tunland V9 menggunakan suspensi belakang jenis multi-link dengan spring gegelung bagi memberikan tahap keselesaan dan kestabilan yang lebih baik. Sementara itu, Tunland V7 mengekalkan penggunaan suspensi dedaun yang lebih lazim bagi segmen pikap. Kedua-dua model dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18 inci bersama tayar AT (semua permukaan).

Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

Foton Tunland V9

Berdasarkan spesifikasi pasaran Afrika Selatan, kedua-dua varian ini berkongsi dimensi luaran yang sama dengan panjang 5,617 mm, lebar 2,090 mm dan tinggi 1,955 mm serta jarak roda 3,355 mm. Saiz ruang kargo juga serupa, manakala kelegaan tanah ditetapkan pada 240 mm.

Untuk trenkuasa, model di pasaran tersebut menggunakan enjin Aucan 2.0 liter diesel turbo dengan bantuan sistem hibrid ringkas 48 volt yang menghasilkan kuasa 163 PS dan tork 450 Nm, serta kapasiti tangki bahan api 76 liter. Spesifikasi ini dijangka dikekalkan untuk pasaran Malaysia.

Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k

Foton Tunland V9

Dari aspek keselamatan dan bantuan pemandu, kedua-dua Tunland V7 dan V9 akan dilengkapi sistem bantuan pemandu termaju Tahap 2+ bersama kamera pandangan 360 darjah. Antara ciri asas termasuk amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, amaran pelanggaran pejalan kaki serta pemantauan keletihan pemandu.

Bagi varian V9 yang lebih tinggi spesifikasinya, tambahan ciri seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif, bantuan kekal lorong, kawalan pemusatan lorong, pengecaman papan tanda jalan, bantuan kesesakan trafik dan sistem kawalan jelajah pintar turut disediakan.

The post Foton Tunland V7, V9 bakal tiba di Malaysia – trak pikap diesel turbo hibrid, jangkaan harga dari RM129k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts