Hongqi, satu jenama kenderaan mewah di bawah FAW Group, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Quill Group sebagai langkah rasmi untuk memasuki pasaran Malaysia. Menerusi perjanjian tersebut, Quill Group dilantik sebagai pengimport rasmi serta pengedar pemasangan tempatan (CKD) eksklusif bagi jenama itu, termasuk tanggungjawab melantik rangkaian pengedar sah di seluruh negara.

Dijangka membuat pelancaran rasmi di Malaysia pada pertengahan tahun ini, Hongqi terkenal sebagai pengeluar kenderaan untuk pemimpin negara dan kenamaan, termasuk model limosin mewah L5. Malah, unit pertama Hongqi L5 generasi kedua telah dihadiahkan kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Iskandar pada tahun 2024.

Selaras dengan statusnya, L5 hadir dengan dimensi besar iaitu sepanjang 5,980 mm, lebar 2,090 mm dan tinggi 1,710 mm. Namun begitu, model ini merupakan sebahagian daripada siri Golden Sunflower yang hanya ditawarkan kepada golongan VVIP.

Hongqi bakal tiba di Malaysia – diedar oleh Quill, lancar tengah tahun 2026, CKD dalam perancangan

Di peringkat global, Hongqi kini giat memperkenalkan barisan SUV tenaga baru yang menggunakan teknologi elektrifikasi, seperti yang dipamerkan di Beijing Motor Show ketika ini. Jenama itu juga telah menembusi pasaran Singapura menerusi model E-HS9, sebuah SUV elektrik penuh dengan dua motor dan jarak pemanduan sehingga 548 km mengikut piawaian WLTP.

Pengarah Urusan Quill Group, Datuk Jennifer Low menyatakan bahawa pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan untuk membawa Hongqi ke Malaysia. Menurut beliau, Hongqi merupakan jenama yang unik dengan sejarah yang kukuh, sering menjadi pilihan pemimpin dunia dan diiktiraf secara global kerana kualiti tanpa kompromi.

Beliau turut menambah bahawa hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China sejak 1974 menjadikan negara ini antara pasaran pemanduan sebelah kanan utama dalam strategi pengembangan Hongqi. Ketika ini, kenderaan Hongqi telah dieksport ke lebih 87 negara dan wilayah di seluruh dunia, termasuk Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Pengenalan operasi CKD di Malaysia turut mencerminkan keyakinan FAW Group terhadap keupayaan industri automotif tempatan serta kedudukan strategik negara dalam rantau ASEAN.

The post Hongqi bakal tiba di Malaysia – diedar oleh Quill, lancar tengah tahun 2026, CKD dalam perancangan appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts