Ketika ini kami sedang berada di Guangzhou, China untuk melawat ibu pejabat Xpeng termasuk fasiliti pengeluaran mereka, sebelum membuat liputan mengenai Auto China 2026 di Beijing lusa. Dalam lawatan ke fasiliti Xpeng ini, kami dimaklumkan oleh Xpeng bahawa mereka akan membawa masuk model SUV baharu ke pasaran Malaysia, dijangkakan sama ada pada suku ketiga (Q3) atau suku keempat (Q4) tahun ini. Adakah ia SUV bersaiz besar Xpeng GX? Ada kemungkinan Xpeng G9 yang juga bakal dipasarkan di Australia kelak.
Berkenaan dengan GX, SUV enam-tempat duduk ini akan dipertontonkan di Auto China 2026 yang bakal membuka tirainya hujung minggu ini. Untuk pengetahuan anda, GX merupakan SUV flagship paling mahal dari Xpeng setakat ini, dan pra-jualannya juga akan dibuka dengan harga jangkaan sekitar 399,800 yuan (RM231,792).
Di China, GX bersaing dengan SUV sedia ada termasuk Li Auto L9, Aito M9, Zeekr 9X dan N9. Ia ditawarkan dengan varian range-extender dan juga bateri elektrik dengan binaan elektrikal 800 voltan yang mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam empat saat dan jarak gerak boleh mencecah hingga 750 km. Penjana kuasa bagi versi BEV ini turut digandingkan dengan motor berkuasa 270 kW (367 PS).

Dengan imej luaran ala Range Rover, ia menerapkan beberapa elemen tersendiri bagi membezakan identiti model ini. Bahagian hadapan GX menampilkan unit lampu yang dipasang rendah, jalur lampu melintang sepenuhnya dan tidak diberikan gril konvensional, sekaligus menampakkan imejny yang lebih moden dan futuristik.
Selain itu, pintu hadapan GX tidak mempunyai kemasan hiasan seperti yang terdapat pada Range Rover. Di belakang pula, GX menggunakan jalur lampu mendatar menggantikan rekaan lampu berbentuk-U yang menurun.
Dikenali secara dalaman dengan kod nama G01, GX akan menggunakan sistem Kunpeng Super Electric System milik Xpeng. Ia merupakan rangkaian kuasa kenderaan elektrik range extender atau REEV yang menyokong teknologi pengecasan 5C dan dikatakan mampu menawarkan jarak pemanduan hibrid melebihi 1,000 kilometer. GX turut ditawarkan dengan sokongan teknologi berasaskan kecerdasan buatan atau AI.
The post Xpeng akan lancar SUV besar di M’sia hujung tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

























