Selepas mengumumkan pembangunan trenkuasa hibrid baru i-HEV, Geely kini melancarkan model terawal yang dilengkapi sistem tersebut di pasaran China menerusi Geely Preface dan Geely Xingyue L (dikenali sebagai Monjaro di pasaran eksport). Sistem ini pada asasnya membawa kepakaran Geely dalam teknologi plug-in hybrid kepada konfigurasi hibrid konvensional tanpa pengecasan luaran, sama seperti yang ditawarkan oleh pengeluar Jepun.
Seperti sistem pada Proton eMas 7 PHEV, trenkuasa i-HEV menggunakan transmisi hibrid khusus satu kelajuan (DHT) jenis 11-dalam-1 yang disepadukan dengan motor elektrik. Dalam kebanyakan situasi, motor elektrik menjadi sumber utama pergerakan, manakala enjin pembakaran dalaman – unit empat silinder 1.5 liter BHE15 – berfungsi menjana tenaga untuk bateri. Namun, enjin tersebut turut boleh menyumbang kuasa secara langsung semasa kelajuan tinggi bagi meningkatkan kecekapan, mirip pendekatan sistem Honda e:HEV.
Meskipun kedua-dua model menggunakan asas teknologi yang sama, konfigurasi kuasa adalah berbeza. Bagi Preface, motor elektrik ditala untuk menghasilkan 190 PS dan 240 Nm dan dipadankan dengan enjin NA berkuasa 111 PS dan 136 Nm.
Output enjin ini dikatakan setara dengan model Geely Galaxy Starship 7 di pasaran China, namun lebih tinggi berbanding eMas 7 PHEV. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada enjin ini menggunakan versi terkini dengan kecekapan terma mencecah 48.41%.
Untuk Xingyue L pula, ia menggunakan motor elektrik yang sama seperti Galaxy Starship 7 dengan kuasa penuh 238 PS dan 262 Nm. Disebabkan keperluan tenaga yang lebih tinggi bagi badan SUV yang lebih besar, enjin pembakaran dalaman dilengkapi pengecas turbo, menghasilkan 163 PS dan 255 Nm.
Menariknya, kedua-dua model ini sebenarnya sudah pun ditawarkan dengan trenkuasa hibrid sedia ada yang menggunakan enjin turbo, motor elektrik lebih berkuasa serta transmisi DHT tiga kelajuan yang lebih kompleks dan berorientasikan prestasi. Namun, peningkatan kecekapan bahan api bagi i-HEV dilihat agak kecil.
Preface i-HEV mencatat penggunaan bahan api 3.98 liter bagi setiap 100 km berbanding 4.22 liter untuk versi hibrid biasa. Xingyue L i-HEV pula merekodkan 4.75 liter per 100 km, hanya sedikit lebih baik daripada 4.79 liter bagi model hibrid sedia ada.
Kelebihan utama sistem i-HEV sebenarnya terletak pada kos yang lebih rendah hasil penggunaan komponen yang lebih ringkas. Di China, Preface i-HEV ditawarkan pada harga bermula 107,700 yuan, jauh lebih murah berbanding 126,700 yuan bagi versi hibrid. Xingyue L i-HEV pula bermula dari 148,700 yuan, berbanding 167,700 yuan untuk varian hibrid biasa.
Selepas ini, trenkuasa i-HEV dijangka diperluaskan kepada model lain seperti Geely Emgrand generasi kelima serta Geely Boyue. Menariknya, Emgrand sebelum ini mencatat penggunaan bahan api serendah 2.22 liter per 100 km dalam ujian lebuh raya yang disahkan oleh Guinness World Records.
Dengan perkongsian komponen bersama eMas 7 PHEV, timbul persoalan sama ada sistem i-HEV ini bakal diperkenalkan pada model hibrid Proton yang diumumkan pada penghujung 2025 dan dijangka memasuki pasaran seawal tahun ini.
GALERI: Geely Preface i-HEV
GALERI: Geely Xingyue L i-HEV
The post Geely Preface, Xingyue L i-HEV didedah – hibrid 1.5L, DHT 1-kelajuan, teknologi akan diguna pada Proton? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



























