Model elektrik terbaru, Mercedes-Benz C-Class EV kini didedahkan secara rasmi, sekaligus bakal bersaing secara langsung dengan seteru tradisinya, BMW i3 yang diperkenalkan bulan lalu.
Varian sulung yang diperkenalkan ialah C400 4Matic Electric, menampilkan konfigurasi dua motor dengan pacuan semua roda. Ia menghasilkan kuasa setinggi 360 kW (489 PS) dan 800 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam hanya empat saat, dengan kelajuan maksimum 210 km/j. Motor belakang dilengkapi transmisi dua kelajuan, manakala motor hadapan menggunakan nisbah gear tunggal.
Tenaga disalurkan oleh bateri jenis NCM yang dibekalkan oleh Samsung SDI, dengan kapasiti 94 kWh. Pek bateri ini memberikan jarak pemanduan sehingga 762 km mengikut piawaian WLTP, manakala pengecasan pantas DC 10-80% boleh dicapai dalam masa sekitar 22 minit. Untuk pengecasan AC, ia menyokong 11 kW secara standard dan sehingga 22 kW sebagai pilihan.
Mercedes-Benz turut mengesahkan bahawa lebih banyak varian akan diperkenalkan tahun hadapan, termasuk versi pacuan roda belakang dan AWD dengan konfigurasi motor tunggal serta dua motor. Varian pacuan roda belakang dijangka menawarkan jarak perjalanan paling jauh, dianggarkan mencecah sekitar 800 km. Bagi model AWD, kecekapan dipertingkatkan menerusi sistem yang membolehkan motor hadapan dimatikan ketika beban rendah, seterusnya mengurangkan kehilangan tenaga sehingga 90%.
Dibina atas platform MB.EA sama seperti Mercedes-Benz GLC EV, model ini menggunakan seni bina elektrik 800 volt yang menyokong pengecasan pantas sehingga 330 kW DC. Dengan pengecasan optimum, model ini mampu menambah jarak sehingga 325 km dalam masa hanya 10 minit. Converter DC turut ditawarkan bagi membolehkan penggunaan stesen pengecasan 400 volt.
Dari segi dimensi, C-Class EV generasi W520 ini berukuran 4,883 mm panjang, 1,892 mm lebar dan 1,503 mm tinggi, dengan jarak roda 2,962 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding generasi W206 sebelum ini, sekaligus menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas. Penumpang hadapan dapat menikmati tambahan ruang kaki sebanyak 12 mm, manakala ruang kepala meningkat 22 mm di hadapan dan 11 mm di belakang.
Rekaan luar mengambil inspirasi daripada GLC EV, dengan tafsiran baru gril klasik yang kini boleh dilengkapi lampu. Lampu utama LED hadir sebagai standard, manakala sistem Digital Light LED ditawarkan sebagai pilihan. Di bahagian belakang, rekaan fastback memberikan profil lebih moden, disertakan lampu belakang berbentuk bintang yang terletak dalam bulatan.
Ruang kargo pula menawarkan kapasiti 470 liter, ditambah ruang “frunk” 101 liter di bahagian hadapan. Berat keseluruhan bagi varian C400 4Matic mencecah 2,460 kg.
Dari segi pemanduan, model ini didakwa sebagai C-Class paling sporty setakat ini, dengan sistem stereng gandar belakang sehingga 4.5 darjah untuk meningkatkan kelincahan pada kelajuan rendah. Pada kelajuan melebihi 70 km/j, roda belakang turut membelok sehala dengan roda hadapan, sehingga 2.5 darjah bagi meningkatkan kestabilan.
Suspensi menggunakan tetapan four-link di hadapan dan multi-link di belakang, digabungkan dengan sistem Airmatic yang boleh merendahkan kenderaan dalam mod Sport. Sistem suspensi pintar turut menggunakan data daripada Google Maps bagi mengoptimumkan ketinggian kenderaan untuk kecekapan aerodinamik.
Sistem brek One-Box membolehkan pemulihan tenaga sehingga 300 kW, dengan kebanyakan proses membrek dilakukan melalui pemulihan tenaga, termasuk dalam situasi kecemasan seperti brek ABS atau permukaan licin.
Di dalam kabin, model ini menampilkan paparan MBUX Hyperscreen bersaiz 39.1 inci yang merentasi hampir keseluruhan papan pemuka. Alternatifnya ialah konfigurasi MBUX Superscreen dengan tiga paparan di bawah satu panel kaca. Sistem ini dikuasakan cip berprestasi tinggi dengan grafik masa sebenar, serta skrin penumpang hadapan yang dilengkapi fungsi sekatan visual untuk mengelakkan gangguan kepada pemandu.
Sistem operasi MBUX generasi keempat menggabungkan kecerdasan buatan daripada ChatGPT, Microsoft Bing dan Google Gemini, membolehkan interaksi suara yang lebih kompleks dan semula jadi melalui pembantu maya.
Paparan head-up display realiti tambahan turut diperkenalkan, memaparkan imej maya bersaiz 18 inci dalam medan penglihatan pemandu. Dari segi keselesaan, tempat duduk hadapan menawarkan fungsi ventilasi, urutan dan sistem audio 4D dengan transducer binaan dalam.
Pilihan kemasan dalaman merangkumi material kulit Softtorino sebagai standard, manakala pilihan premium termasuk corak “Twisted Diamond” dan kulit Nappa. Selain itu, model ini turut ditawarkan dengan pakej dalaman vegan yang diperakui oleh The Vegan Society, meliputi hampir semua permukaan lembut dalam kabin.
Dari aspek keselamatan, C-Class EV dilengkapi sehingga 27 kamera dan sensor, serta pelbagai sistem bantuan pemandu seperti MB.Drive dan MB.Drive Assist Pro. Fungsi baru Pre-Safe Curve turut diperkenalkan, yang memberi amaran kepada pemandu jika kenderaan memasuki selekoh pada kelajuan terlalu tinggi. Secara keseluruhan, model ini dilengkapi sehingga 11 beg udara, termasuk beg udara tengah hadapan dan beg udara lutut untuk penumpang hadapan.
The post Mercedes-Benz C-Class EV 2026 – W520 dengan binaan 800V, DC 330 kW, WLTP sehingga 800 km appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































