Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melaksanakan lebih 4,500 tindakan tunda atau angkut hasil daripada lebih 9,600 aduan awam yang diterima sepanjang tempoh 2022 hingga 2025. Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata untuk tahun ini, pihaknya menyasarkan pelupusan sebanyak 1,200 kenderaan usang, buruk dan terbiar dan setakat awal April ini, sebanyak 768 kenderaan telah dilupuskan.

Beliau berkata demikian sewaktu melancarkan Program Pelupusan Kenderaan Buruk/Tersadai Secara Sukarela di kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) hari ini. Program tersebut adalah sebagai salah satu inisiatif mempertingkatkan kualiti persekitaran dan kesejahteraan penduduk, selain terus memperkukuh kecekapan pengurusan kenderaan buruk dan tersadai di sekitar bandar raya bagi memastikan persekitaran yang lebih tersusun, bersih dan selamat untuk warga kota.

Bagi menyokong operasi ini, DBKL menyediakan tiga depoh utama di Taman Connaught, Cheras; Pantai Sentral, Lembah Pantai; dan Jalan Mas, Chan Sow Lin dengan kapasiti keseluruhan mencecah 3,100 kenderaan.

“Dalam usaha meningkatkan kecekapan pelaksanaan, DBKL telah melantik Tetuan Car Medic Sdn. Bhd. sebagai penyedia perkhidmatan yang merangkumi kerja tunda dan angkut, penyediaan logistik serta pelupusan secara lestari. Program pelupusan secara sukarela turut diperkenalkan khususnya di kawasan perumahan awam dan strata bagi menggalakkan pemilik melupuskan kenderaan secara sah.

DBKL tunda lebih 4,500 kenderaan usang, rosak antara 2022-2025 – sasar lupus 1,200 kenderaan tahun ini

“Melalui inisiatif ini, pemilik kenderaan boleh membuat pembatalan pendaftaran melalui sistem e-Dereg dengan proses pengesahan yang cepat, selain menerima ganjaran tunai antara RM100 hingga RM2,000 mengikut jenis dan keadaan kenderaan,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, pihaknya juga akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berperingkat. “Setiap kenderaan akan melalui siasatan awal dan notis akan dikeluarkan kepada pemilik. Kegagalan mematuhi notis akan mengakibatkan tindakan tunda atau angkut diambil, termasuk pemindahan ke depoh simpanan sebelum dilupuskan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Sehubungan itu, DBKL menyeru kerjasama semua pemilik kenderaan agar lebih bertanggungjawab dan tidak membiarkan kenderaan tersadai di tempat awam. Orang ramai yang ingin melupuskan kenderaan secara sukarela boleh menghubungi pihak penyedia perkhidmatan bagi tindakan lanjut,” tambahnya.

Katanya lagi, DBKL komited memastikan pengurusan kenderaan buruk dan tersadai dilaksanakan secara sistematik, cekap dan mampan demi kesejahteraan serta kualiti hidup warga kota Kuala Lumpur.

The post DBKL tunda lebih 4,500 kenderaan usang, rosak antara 2022-2025 – sasar lupus 1,200 kenderaan tahun ini appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts