Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Kewangan (MoF) untuk menangani segera proses penyasaran subsidi diesel dengan menggunakan mekanisme sama seperti pemberian Budi95 bagi minyak subsidi RON95, laporan Berita Harian.

Katanya lagi, Perdana Menteri juga mahu kementerian membentangkan perincian mengenai proses berkenaan sama ada pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) pada Selasa depan atau Mesyuarat Kabinet sehari kemudian.

“Kerajaan mula meneliti mekanisme yang terbaik untuk mengubah cara pengagihan subsidi Budi Diesel Individu yang ketika ini dalam bentuk pindahan tunai kepada mekanisme sama yang digunakan bagi Budi95.

“Kita jangka apabila tiba masanya nanti, ini akan dapat membantu terutama bagi rakyat Malaysia yang menggunakan kenderaan diesel. Jadi caranya lebih mudah, lebih efisien dan berkesan kalau kita lihat kepada cara pelaksanaan Budi95,” katanya selepas Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Walau bagaimana pun, tidak diketahui sama ada diesel campuran B7 akan dimasukkan dalam pelan subsidi pukal yang akan datang, atau sama ada ia akan dianggap sebagai pilihan “premium” dan kekal pada harga pasaran, sama seperti petrol RON97. Jadi bagi mereka yang memandu kenderaan diesel yang menggunakan ‘blue nozzle’ (termasuk model Kia Carnival dan Mazda SkyActiv-D), jangan terlalu awal untuk rasa teruja meraikannya. Kena tunggu perkembangan selanjutnya dari MoF.

The post Penyasaran subsidi diesel akan guna mekanisme yang sama seperti pemberian Budi95 – Menteri Komunikasi appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts