Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan bahawa lebih 400,000 transaksi direkodkan melalui pelaksanaan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) bagi sistem pembayaran tol tanpa palang sejak Januari lalu di Lebuhraya Utara-Selatan, laporan Berita Harian.

Menurut Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, projek rintis yang membabitkan 78 lorong di sembilan plaza tol di jajaran Hutan Kampung di Kedah hingga Sungai Dua di Pulau Pinang ternyata menunjukkan perkembangan positif, sekaligus memberikan petanda baik bahawa sistem ini boleh diuruskan.

Tambahnya, kerajaan meletakkan sasaran peluasan sepenuhnya pelaksanaan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) di seluruh negara menjelang 2027. “Kita serahkan kepada pihak konsesi untuk perluaskan. Sasaran besar kita adalah pelaksanaan MLFF sepenuhnya menjelang 2027,” katanya.

ANPR catat lebih 400,000 transaksi dalam projek rintis di Lebuhraya PLUS sejak Januari lalu – KKR

Pada pertengahan Februari lalu, dilaporkan kira-kira 200,000 pengguna sudah memuat turun aplikasi baharu JustGO untuk sistem pembayaran tol terbuka menggunakan teknologi ANPR ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini dilaporkan berkata, dengan meliputi jarak 87.7 kilometer, fasa pertama sistem ANPR ini dijangka melancarkan aliran trafik di plaza tol serta mengurangkan risiko pertukaran lorong saat akhir. “Kamera ANPR yang dipasang di plaza tol akan mengesan nombor plat kenderaan bagi membolehkan caj tol diproses secara automatik melalui platform pembayaran mudah alih yang dipautkan kepada kaedah pembayaran pilihan pengguna,”kata PLUS.

Disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, sistem ini direka untuk mengenal pasti kenderaan dalam pelbagai keadaan termasuk cuaca, kelajuan, sudut pandangan serta nombor plat tidak standard, dan akan terus meningkatkan tahap ketepatannya dari semasa ke semasa.

ANPR catat lebih 400,000 transaksi dalam projek rintis di Lebuhraya PLUS sejak Januari lalu – KKR
ANPR catat lebih 400,000 transaksi dalam projek rintis di Lebuhraya PLUS sejak Januari lalu – KKR

Menurut PLUS lagi, kaedah pembayaran tambahan seperti e-dompet dan perbankan dalam talian akan diperkenalkan dalam tempoh terdekat. Selain urusan pembayaran tol, aplikasi JustGo turut menyediakan kemudahan e-invois untuk memudahkan urusan pengguna. Sementara itu, kaedah pembayaran tol sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTAG dan RFID masih boleh digunakan seperti biasa.

Sejak September 2024, PLUS telah menjalankan ujian sistem pembayaran ANPR secara menyeluruh. Hasil ujian menunjukkan pengesanan yang lebih pantas berbanding sistem tol sedia ada berikutan hasil liputan kamera yang lebih luas di plaza tol.

“Ujian ini dilaksanakan dengan kerjasama rapat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta konsesi lebuhraya lain. Sepanjang tempoh pelaksanaan projek rintis, palang tol akan kekal digunakan. Pengguna dinasihatkan untuk mengekalkan kelajuan antara 20 hingga 25 km/j ketika melalui plaza tol tanpa perlu berhenti,” kata PLUS.

The post ANPR catat lebih 400,000 transaksi dalam projek rintis di Lebuhraya PLUS sejak Januari lalu – KKR appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts