Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tiada keperluan untuk memperkenalkan hukuman mati pada Akta Pengangkutan Jalan (APJ) bagi kes membabitkan pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, laporan Berita Harian.

Jelas beliau, undang-undang sedia ada sudah membolehkan kes serius didakwa di bawah peruntukan bunuh khususnya Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika bersesuaian. Katanya lagi, Malaysia juga sudah menghentikan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi beberapa kesalahan berat dan kerajaan tidak bercadang memperkenalkannya semula bagi kesalahan seumpama itu.

“Setakat ini, kerajaan sudah menghentikan hukuman mati mandatori. Jadi, perkara ini bukan dalam pertimbangan kami. Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh APJ bagi memastikan keluarga mangsa menerima pampasan tanpa perlu melalui proses sivil yang panjang. Apa yang kita pinda adalah untuk memastikan ada pampasan kepada keluarga mangsa. Jika didapati bersalah, selain hukuman penjara dan denda, pesalah juga bertanggungjawab membayar pampasan kepada keluarga mangsa.

Tak perlu memperkenalkan hukuman mati untuk pemandu mabuk atau bawah pengaruh dadah – Loke

“Kita mengemukakan cadangan ini kerana pada masa ini, saluran untuk keluarga mangsa adalah melalui tindakan sivil yang rumit, mengambil masa dan kos tinggi. Jadi, daripada mereka perlu mengambil tindakan sivil, kita boleh menambah peruntukan dalam undang-undang sedia ada supaya selain hukuman penjara, pesalah juga perlu membayar pampasan itu,” katanya yang turut mengesahkan pindaan terhadap APJ itu akan dibentangkan di Parlimen Jun ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli dilaporkan berkata hukuman bagi kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah mungkin perlu diperketatkan lagi, walaupun pindaan dibuat pada 2020.

Susulan kemalangan maut yang melibatkan pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah, banyak pihak menggesa supaya kerajaan meminda undang-undang sedia ada termasuklah mempertimbangkan hukuman mati terhadap pesalah berkenaan. Antaranya, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata undang-undang sedia ada gagal menjadi pencegah, merujuk kepada kes kemalangan maut berulang membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk insiden di Klang baru-baru ini yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal.

The post Tak perlu memperkenalkan hukuman mati untuk pemandu mabuk atau bawah pengaruh dadah – Loke appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts