Barisan model Nova daripada Aveta, yang terdiri daripada Nova 125, Nova 160 dan Nova 250 kini bertambah apabila pengeluar jenama tempatan itu memperkenalkan pula Nova 200. Ia dilancarkan pada harga RM8,488 tidak termasuk insurans.
Menggerakkan Nova 200 adalah enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair 183.3 cc bersama padanan transmisi automatik CVT, menghasilkan kuasa 18 hp pada 8,000 rpm dan tork 17.6 Nm pada 5,500 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan dengan pemula elektrik, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 10 liter.
Skuter ini duduk di atas rim 14 inci dengan saiz tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, masing-masing dipegang oleh fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan tabung gas. Brek di kedua-dua roda adalah unit cakera, datang lengkap dengan sistem ABS dual-channel.
Ciri keselamatan ditambah lagi dengan sistem kawalan cengkaman yang boleh ditutup secara mudah melalui butang di bahagian kiri pemegang, manakala kemudahan lain yang disediakan adalah termasuk kunci pintar, poket barangan dengan soket pengecas USB C dan A serta ruang simpanan di bawah tempat duduk.
Selain panel badan yang nampak sporty, Nova 200 juga didatangkan dengan perincian berkonsep sama, seperti yang boleh dilihat pada tempat duduk serta motif lampu LED-nya. Informasi penting dipaparkan melalui meter digital LCD. Tiga warna ditawarkan untuk Nova 200 ini iaitu Neon, kelabu dan biru.
The post Aveta Nova 200 dilancarkan di Malaysia – skuter 183 cc dengan ABS dan TC, penyerap belakang tabung appeared first on Paul Tan’s Automotive News.













































