Susulan konflik di Timur Tengah yang menjejaskan bekalan dan harga pasaran bahan api di peringkat global, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyeru orang ramai agar memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perkhidmatan digital yang disediakan bagi melaksanakan urusan berkaitan tanpa perlu hadir ke kaunter.
“Pendekatan “urusan di hujung jari” ini bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah merupakan langkah praktikal yang dapat membantu rakyat menjimatkan kos petrol, mengurangkan masa perjalanan serta mengelakkan kesesakan di pejabat JPJ.
“Untuk makluman, sebanyak 33 jenis urus niaga boleh dilaksanakan melalui Portal Rasmi JPJ (www.jpj.gov.my), manakala 16 jenis urus niaga lagi boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ. Orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform ini bagi urusan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Tambah JPJ, pihaknya kekal komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui peluasan penggunaan platform digital seperti Portal Rasmi JPJ dan aplikasi MyJPJ, selaras dengan aspirasi Kerajaan ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berintegriti.
“Dalam masa yang sama, usaha ini turut menyokong inisiatif penjimatan penggunaan bahan api dalam kalangan rakyat. Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesa rakyat,” katanya lagi.
Antara perkhidmatan yang boleh dilakukan secara dalam talian menerusi portal rasmi JPJ dan aplikasi MyJPJ ialah semakan dan pembayaran saman trafik, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM/cukai jalan), pembaharuan lesen memandu, permohonan Permit Memandu Antarabangsa (IDP), paparan Vehicle Ownership Certificate (VOC), semakan status senarai hitam dan banyak lagi.
The post JPJ seru rakyat manfaatkan kemudahan digital; 33 urusniaga via portal rasmi, 16 urusan via MyJPJ appeared first on Paul Tan’s Automotive News.















