Sebuah Proton X70 dengan penggayaan lebih agresif dilihat sedang dibawa menggunakan lori penghantar, di mana imejnya telah dirakam dan dimuat naik ke Facebook menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group.
Rupa agresif pada SUV segmen-C tersebut diserlahkan menerusi pemadanan kit badan bersama jalur-jalur merah serta rim dalam kemasan hitam. Ada yang menyatakan bahawa ini adalah ‘X70 Black Edition’, namun kami jangkakan ia adalah X70 Sport Edition kerana kemasan-kemasan yang diberikan termasuk satu lencana yang ditampal pada pintu tailgate belakang yang nampak sama seperti X50 Sport Edition yang dilancarkan pada Januari tahun lalu, iaitu model edisi khas diasaskan X50 pre-facelift dalam varian Premium.
Proton X70 baru sahaja menerima penyegaran menerusi model MC3 yang dilancarkan pada Januari lalu. Ia masih tampil dengan rupa luaran yang nampak sama, namun perubahan terbesar dibuat menerusi penukaran enjin dari 1.5 liter tiga-silinder turbo kepada enjin baharu i-GT 1.5 liter empat silinder turbo yang menghasilkan kuasa 181 PS dan tork maksima 290 Nm.
Ia ditawarkan hanya dalam dua varian iaitu 1.5TD Executive dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM106,800, dan 1.5TD Premium berharga RM119,800. Agak-agak varian mana yang menjadi asas kepada X70 Sport Edition ini, dan berapa harga jualannya kelak? Sebagai rujukan, X50 Sport Edition dijual pada harga RM3,500 lebih mahal dari varian Premium yang menjadi asasnya.
The post Proton X70 Sport Edition dilihat atas lori penghantar – kit badan, rim hitam, serlahan merah, akan dilancar? appeared first on Paul Tan’s Automotive News.
















