Sebagai MINI yang paling diinginkan, MINI John Cooper Works GP sentiasa mendapat permintaan tinggi. Masalahnya, model edisi ini tidak hanya akan ditawarkan sekali sahaja, iaitu ketika penghujung kitaran hayat setiap generasi MINI, tetapi ia juga sentiasa dikeluarkan dalam jumlah terhad dan sangat mahal. Namun, kini ada yang lebih mudah untuk mendapatkan penampilan yang serupa dengan JCW GP Inspired Edition, yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia.
Ia tidaklah murah. Jika berdasarkan JCW petrol “standard” yang sudah sedia mahal, GP Inspired Edition ini dikenakan harga tambahan RM15,000 lebih tinggi, dijual dengan harga RM333,888 atas jalan tanpa insurans. Ini termasuk jaminan dua-tahun standard tanpa had perbatuan; jika pelanggan memilih lanjutan jaminan empat-tahun dan pakej servis, harganya melonjak kepada RM345,988.

Perkara yang menghubungkan GP Inspired Edition ini dengan model inspirasinya ialah cat Racing Grey dan JCW Aero Kit yang lengkap — termasuk spoiler berganda di pintu belakang yang tinggi dan sayap kecil di bahagian hadapan, sisi dan belakang, semuanya diserlahkan dengan warna merah. Ada juga jalur kelabu dan merah di seluruh bahagian, serta rajah pelbagai litar terkenal di tiang-C. Pelekat besar “GP Inspired” di sepanjang sisi menunjukkan bahawa ini merupakan model versi inspirasi.
Bagaimanapun, ini masih model JCW tulen yang dilengkapi dengan reka bentuk bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, gril yang lebih terbuka dengan corak bendera berkotak, ekzos di tengah dan roda aloi JCW Lap Spoke 18-inci, dan diserlahkan dengan penutup tengah MINI merah untuk GP Inspired Edition.

Di bahagian dalam, tikar lantai dan plat gelincir GP Inspired yang ditempah khas digandingkan dengan stereng JCW dan tempat duduk sport MINI yang dibalut dengan kulit buatan Vecsin dan fabrik, serta perincian merah dan grafik bendera berkotak di papan pemuka. Penutup kunci GP Inspired melengkapkan tambahan tersebut.
Di bawah bonetnya adalah enjin empat-silinder turbo B48 2.0 liter yang tidak diubah suai, dengan hantaran kuasa 231 PS dan tork 380 Nm ke roda depan. Angka tersebut jauh sekali daripada janaan 306 PS dan 450 Nm untuk model GP, tetapi ia masih mencukupi untuk GP Inspired Edition mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.
Selain GP Inspired Edition, MINI Malaysia juga telah memperkenalkan MINI 1965 Victory Edition (yang jauh lebih murah), berdasarkan enjin elektrik John Cooper Works E.
The post MINI John Cooper Works GP Inspired Edition di M’sia — gaya ilham perlumbaan, masih 231 PS; RM334k appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















































