Sebuah trak pikap SAIC Maxus eTerron 9 dilihat dipandu di atas jalan raya awam di Malaysia, atau lebih spesifiknya ia sedang menuju ke Minlon di Serdang, Selangor. Foto model tersebut telah berjaya dirakam dan di muat naik oleh seorang pengguna Facebook di paultan.org Automotive/Car Discussion Group. Pengedar Maxus di Malaysia iaitu Weststar Maxus sebenarnya telah membuka pendaftaran minat bagi trak pikap ini pada hujung bulan lalu, tetapi tanpa pembayang jelas bila ia akan dilancarkan di sini.
SAIC Maxus eTerron 9 ini telah membuat kemunculannya di Eropah pada September 2024, didakwa sebagai “trak pikap 4×4 pertama yang dibina berasaskan platfrom elektrik khusus”. Ia menampilkan dimensi panjang 5,500 mm, lebar 2,005 mm, tinggi 1,860 mm dan jarak roda 3,300 mm. Sebagai perbandingan, ini menjadikan ia 140 mm lebih panjang berbanding Ford Ranger dan 175 mm lebih panjang berbanding Toyota Hilux.
Di benua itu juga eTerron 9 ini diberikan pek bateri ‘Tetris’ 102 kWh yang mampu memberikan jarak sehingga 430 km mengikut standard WLTP. Bateri ini boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC sehingga 115 kW, bagi memenuhkan bateri antara 20-80% dalam masa 40 minit. Sistem V2L turut disediakan bagi membolehkan cas bateri berkenaan digunakan untuk mengoperasikan perlatan elektrik lain dengan kapasiti 2.2 atau 6.6 kW.
Bateri berkenaan membekalkan kuasa kepada sepasang motor elektrik – yang terletak di setiap gandar – memberikan kebolehan pacuan semua roda dan menyampaikan kuasa keseluruhan 442 PS (436 hp atau 325 kW) bagi membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Menurut SAIC, trak ini boleh menunda sehingga 3.5 tan dan membawa berat sehingga 620 kg.
Berbeza dengan trak pikap biasa, panel pembahagi antara tempat duduk belakang dengan ruang barangan pada eTerron 9 ini direka agar ia boleh dibuka, membolehkan pengguna memasukkan barang panjang sehingga 2,400 mm. Tidak cukup dengan itu, ia turut mempunyai bahagian frunk berkapasiti 236 liter di ‘muncung’ hadapan yang memberikan ruang tambahan untuk menyimpan barang,
Manakala dalam ruang kabin, ia diberikan kemasan kulit dua tona bersama dua skrin TFT lebar untuk panel instrumen dan sistem infotainmen. Ia kemudiannya disertai konsol tengah seakan terapung, roda stereng dua jejari serta kemasan metalik di beberapa tempat.
Tempat duduk pemandu boleh dilaras secara elektrik dan datang dengan liang udara serta fungsi mengurut, sementara tempat duduk di sebelahnya boleh dilipat hampir rata untuk memberi ruang baring sehingga 1,700 mm. Tempat meletak barang juga ada banyak, sehingga 20 di sekeliling kereta.
Dengan harga diesel yang semakin meningkat, adakah ini masa yang tepat untuk trak pikap EV ini dilancarkan di sini>
The post SAIC Maxus eTerron 9 dilihat di Serdang, Selangor – trak pikap EV, 430 km WLTP, ROI sudah dibuka appeared first on Paul Tan’s Automotive News.



















