Chery Malaysia kini telah memperkenalkan aplikasi mudah alih untuk pemilik plug-in hybrid. Dikenali sebagai CarLinko, aplikasi tersebut akan menawarkan pemantauan yang lebih pintar, pengurusan tenaga lebih cekap serta kemudahan harian kepada pengguna Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV. Kedua-duanya model terbabit dilancarkan pada Oktober 2025.
“Di Chery, matlamat kami adalah untuk memastikan teknologi PHEV dapat mempertingkatkan kehidupan seharian melalui kesederhanaan dan reka bentuk pintar. CarLinko melanjutkan manfaat pemanduan plug-in hybrid yang melangkaui penjimatan bahan api, dengan memberikan pemilik kawalan dan keselesaan, pengecasan serta pemerhatian ke atas kenderaan. Ini mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap mobiliti elektrik yang lebih pintar dan menyeronokkan,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang.
Pengguna CarLinko boleh mengaktifkan penghawa dingin PHEV mereka dari jauh sebelum memasuki kereta, dan ia mempunyai ciri pencari kenderaan sekiranya pemilik terlupa telah meletakkan kereta di mana. Ciri-ciri gaya EV termasuk menjadualkan pengecasan di rumah melalui aplikasi, menjadikannya lebih mudah untuk menambah tenaga mengikut waktu yang dipilih dan mengurangkan bil elektrik anda.
Aplikasi CarLinko juga memberikan pemilik PHEV akses masa nyata kepada maklumat kenderaan seperti perbatuan, jarak pemanduan yang tinggal dan tahap bateri/petrol. Pemilik juga boleh menyemak data tekanan tayar dan penggunaan bahan api kereta mereka dari jauh. Akhir sekali, pemilik boleh menyemak jadual servis dan mengakses rekod servis dari dalam aplikasi.
Ditawarkan sebagai ciri percuma untuk pemilik Chery PHEV, aplikasi CarLinko boleh dimuat turun dari Apple App Store untuk iOS atau Google Play untuk Android. Pemilik kereta baru akan melengkapi proses pengaktifan dan pemasangan semasa serahan kenderaan mereka. Pemilik Chery PHEV sedia ada pula boleh mengaktifkan perkhidmatan ini dengan mengunjungi pengedar Chery terdekat untuk pengesahan dan pemasangan yang selamat.
Ini merupakan satu ciri dan pengalaman penggunaan EV yang bagus untuk dinikmati oleh pemilik PHEV, dan bahkan sesetengah jenama EV juga tidak tawarkan kepada pelanggan mereka. Butiran penuh dan spesifikasi Tiggo 7 PHEV dan Tiggo 8 PHEV berkuasa 1.5T Chery Super Hybrid di sini.
The post Chery Malaysia perkenal aplikasi CarLinko untuk pemilik PHEV — ciri yang biasanya hanya untuk EV appeared first on Paul Tan’s Automotive News.


















