GT Association (GTA) dan Haro Sports & Entertainment hari ini mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan bahawa perlumbaan pusingan Malaysia untuk siri Autobacs Super GT 2026 yang dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19-21 Jun ini akan ditangguhkan.

Menurut kenyataan berkenaan, keputusan ini dibuat disebabkan oleh keadaan global semasa, terutamanya situasi yang tidak menentu di Timur Tengah yang telah menyebabkan kesukaran dari segi operasi dan logistik yang ketara. Ditambah dengan peningkatan kos pengangkutan antarabangsa dan perbelanjaan perjalanan udara yang besar, ia telah memberi impak yang tidak seimbang terhadap perancangan dan penganjuran acara tersebut.

“Walaupun ini bukanlah apa yang kami bayangkan untuk tahun kedua pusingan Malaysia, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada GTA, pasukan dan semua pihak berkepentingan yang dihargai – rakan kongsi kami, penaja, media dan terutamanya semua peminat – atas sokongan dan pemahaman mereka yang kuat dalam masa yang mencabar ini. Perlumbaan ini akan kembali ke Malaysia, dan apabila ia berlangsung, kami komited untuk menjadikannya dua kali lebih menarik!” kata rakan kongsi pengurusan Haro Sports & Entertainment, Fahrizal Hassan.

Autobacs Super GT pusingan Malaysia 2026 sah ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Haro Sports & Entertainment dan semua orang yang terlibat di Malaysia atas usaha mereka dalam membuat persediaan untuk acara ini. Ini adalah keputusan yang sukar untuk dibuat, tetapi kami ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat, peserta, penaja dan media Jepun kami atas pemahaman mereka. Kami akan terus membina hubungan kerjasama dengan Haro Sports & Entertainment dan semua orang di Malaysia supaya peminat Malaysia dapat sekali lagi menikmati Super GT yang mengujakan,” ulas presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif GTA, Masaaki Banboh.

Mengikut perancangan awal, Litar Antarabangsa Sepang di Malaysia akan menjadi pusingan ketiga untuk musim 2026 Autobacs Super GT, dan jualan tiketnya sudahpun mula dijual awal bulan lalu. Sebelum ini ada khabar angin menyatakan bahawa pusingan di Malaysia ini akan dibatalkan terus, namun dengan pengumuman yang dibuat hari ini ia disahkan hanya akan ditangguhkan sehingga “keadaan mengizinkan untuk menganjurkan acara yang selamat, stabil dan berkualiti tinggi”, kata kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

Sekiranya anda telah membeli tiket-tiket berkenaan, ia masih sah untuk perlumbaan yang akan dijadualkan semula kelak. Namun anda masih boleh membuat tuntutan pulangan semula pembayaran tiket tersebut, dan ia perlu dibuat sebelum 30 April 2026.

Autobacs Super GT pusingan Malaysia 2026 sah ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya

Tetapi sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sehingga 1 Mei 2026 dan mahu terus menggunakan tiket berkenaan apabila ada tarikh baru kelak, pihak penganjur akan menaiktaraf tiket anda secara automatik, dan ia termasuk menerima akses percuma untuk grid walk.

Manakala untuk mereka yang membuat tuntutan semula, anda perlu membeli semula tiket sekiranya mahu hadir ke perlumbaan yang dijadualkan semula itu kelak, dan tiket berkenaan berkemungkinan akan berharga lebih tinggi dan mungkin ketersediaan tiket berkenaan juga turut terhad.

The post Autobacs Super GT pusingan Malaysia 2026 sah ditangguhkan, bukan dibatalkan sepenuhnya appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts