Kerajaan Malaysia kini sedang mengkaji kemungkinan untuk memperluaskan penggunaan MyKad dalam pelaksanaan subsidi bersasar bagi bahan api diesel. Langkah ini dilihat sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan skim Budi Madani RON 95 (Budi95) bagi petrol RON 95 yang telah diperkenalkan sebelum ini – lapor New Straits Times.

Menurut Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, penggunaan MyKad dalam skim Budi95 terbukti lebih tersusun dan berupaya mengurangkan risiko ketirisan, di samping membolehkan penjimatan dilaksanakan tanpa menjejaskan corak pembelian pengguna secara ketara. Pendekatan ini juga dilihat lebih efisien dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran.

Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan agihan bantuan di bawah Sumbangan Asas Rahmah di kawasan bandar dan luar bandar memberikan petunjuk positif bahawa sistem berasaskan MyKad untuk subsidi diesel bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Namun begitu, kajian terperinci masih diperlukan memandangkan corak penggunaan diesel berbeza mengikut kawasan, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan kaji penggunaan MyKad untuk subsidi diesel bersasar bagi kurangkan risiko ketirisan, lebih cekap

Selain itu, terdapat juga cabaran dari segi infrastruktur, terutamanya di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada stesen minyak konvensional dan bergantung kepada kaedah pengagihan alternatif. Justeru, kerajaan perlu memastikan sebarang pelaksanaan baru tidak menjejaskan bekalan bahan api. Kajian ini sedang dijalankan secara bersama antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Bagi subsidi diesel, kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa bantuan tunai bulanan di bawah Budi Madani Diesel akan dikekalkan pada kadar RM300 bagi April 2026, selepas dinaikkan daripada RM200 kepada RM300 pada bulan Mac lalu.

Dalam perkembangan berkaitan petrol RON 95, kerajaan mengambil pendekatan untuk mengurangkan kuota subsidi bulanan kepada 200 liter di bawah skim Budi95, berbanding 300 liter sebelum ini. Langkah ini dilihat sebagai alternatif kepada kenaikan harga bahan api bersubsidi, dengan matlamat utama untuk melindungi kebajikan majoriti rakyat Malaysia daripada kesan peningkatan kos sara hidup.

The post Kerajaan kaji penggunaan MyKad untuk subsidi diesel bersasar bagi kurangkan risiko ketirisan, lebih cekap appeared first on Paul Tan’s Automotive News.

Shares:

Related Posts